Isnin, 3 Julai 2017 | 1:57pm

'Guru juga jadi mangsa buli pelajar gangster'


MAHDZIR (dua dari kiri) diiringi Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan (kiri) beramah mesra bersama pelajar kursus pengurusan perniagaan Kolej Vokasional sewaktu mengadakan lawatan di Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Guru yang menjadi mangsa buli perlu membuat laporan segera bagi memastikan keselamatan mereka dan keluarga terjamin.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya mengakui wujudnya kejadian guru dibuli terutama apabila membabitkan pelajar yang terbabit dengan kongsi gelap.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil dengan melaporkan kejadian buli terhadap guru kepada polis terutama apabila ia membabitkan kegiatan kongsi gelap.

"Guru yang menjadi mangsa perlulah tampil serta lapor pada sekolah dan polis supaya pelajar yang melangkaui batas diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Masalahnya sekarang, ada guru malas nak panjangkan cerita kerana takut keselamatan diri terutama di luar sekolah mereka risau kenderaan dirosakkan sedangkan tindakan terbabit akan lebih menyusahkan kemudian hari.

"Saya harap guru terbabit fikir keselamatan dengan membuat laporan kepada polis. Jangan hanya fikir nak jaga nama sekolah atau pelajar kerana ia perkara serius dan polis mampu menanganinya, " katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kolej Vokasional Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamad Idris mendedahkan ada guru yang menjadi mangsa buli sekali gus menyumbang peningkatan kes kongsi gelap.

Kejadian buli ke atas guru dalam pelbagai bentuk termasuk diperas ugut dan kenderaan dirosakkan selepas pelajar terbabit ditegur kerana melakukan kesalahan.

 

MAHDZIR (kanan) diiringi Pengarah Kolej Vokasional Alor Setar, Majmin Md Noor (tengah) melawat di Kolej Vokasional Alor Setar di Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam
MAHDZIR (dua dari kanan) diiringi Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai penggunaan mesin larik daripada ketua program kursus pemesinan industri Kolej Vokasional, Mohd Junaidi Harun (kiri) ketika mengadakan lawatan di Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X