Isnin, 3 Julai 2017 | 3:25pm

Ibu bertemu anak selepas 36 tahun terpisah


SELAMAT@NADZRUL Mohamed, 38, (tengah) memeluk erat ibu kandungnya, Maimon Salim, 59, (kiri) yang terpisah sejak 36 tahun lalu. Turut sama bapa tiri Selamat, Mohd Ibrahim Mohamad, 6, (kiri) ketika sidang media di Ibu pejabat MCA Perak. - Foto L. Manimaran

IPOH: Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi seorang ibu selepas dipertemukan dengan anak sulungnya yang terpisah 36 tahun lalu.

Maimon Salim, 59, berkata sebaik melihat kelibat anaknya turun dari bas di Terminal Bas Amanjaya Sabtu lalu, perasaannya sebak kerana kali terakhir melihat anak lelakinya, Selamat@ Nadzrul Mohamed, 38, ketika anaknya itu berusia dua tahun.

Katanya, selepas 36 tahun terpisah, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama suami dan dua lagi anaknya bertambah meriah dengan kepulangan anak sulungnya itu.

"Sambutan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya kerana penantian saya mencari anak sejak bertahun-tahun dulu berakhir.

"Sebaik melihat dia turun dari bas, saya terus peluk dan cium dia," katanya ketika ditemui di Wisma MCA Perak di sini, hari ini, bersama Ketua Biro Khidmat dan Aduan MCA Perak, Jimmy Loh.

Maimon yang ditemani suami, Mohd Ibrahim Mohamad, 61, berkata, tiga anak termasuk dua anak perempuannya diserahkan kepada keluarga angkat oleh kakak iparnya di Batu Kurau, Taiping sejak 36 tahun lalu sebelum dia dan suami ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Ketika itu keadaan amat terdesak akibat beban kewangan dan terpaksa menumpang rumah kakak ipar pada tahun 1981.

"Saya minta dia menjaga anak-anak saya untuk sementara waktu sementara saya bekerja di Kuala Lumpur, namun ketiga-tiganya diserahkan pula kepada keluarga angkat," katanya.

Sementara itu, Selamat berkata, dia dimaklumkan rakan pada 28 Jun lalu mengenai pencarian ibu kandungnya menerusi laporan akhbar baru-baru ini.

Katanya, sebaik diberitahu perkara itu dia terus menelefon ibu kandungnya menerusi nombor telefon yang tertera di atas keratan akhbar berkenaan.

"Pada Sabtu lalu, saya ambil keputusan menaiki bas dari Kelantan untuk berjumpa emak dan terus menetap di sini (Ipoh) untuk menjaganya dan esok saya sudah mula bekerja sebagai pembantu di sebuah kantin sekolah di sini," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X