Isnin, 3 Julai 2017 | 7:20pm

FGV rujuk kes CEO, CFO kepada Panel Siasatan Dalaman

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memutuskan untuk merujuk Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha kepada Panel Siasatan Dalaman.

Keputusan itu dibuat selepas menilai dan menimbang surat tunjuk sebab mereka berhubung isu berkaitan dengan hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Kedua-dua Zakaria dan Ahmad Tifli pada masa ini sedang bercuti.

"Lembaga telah menubuhkan panel yang sewajarnya daripada dalam Kumpulan FGV. Anggotanya bukan terdiri daripada para pengarah FVG," menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

FGV juga berkata semasa proses siasatan itu, lembaga tidak akan mengulas dan/atau campur tangan berhubung perkara itu.

"Lembaga hanya akan membuat pengumuman yang perlu apabila panel telah menyerahkan keputusannya kepada lembaga dan satu resolusi telah dicapai. Proses ini dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan," menurut syarikat itu.

Menurut FGV, lembaga pengarah juga memutuskan untuk menghantar nota peringatan kepada Zakaria bagi mengingatkan beliau bahawa semasa bercuti, beliau masih kakitangan FGV dan terikat dengan kod tata laku dan etika perniagaan syarikat bagi kakitangan. - BERNAMA

Berita Harian X