Selasa, 4 Julai 2017 | 10:22am

Indonesia kekal contoh negara Islam sederhana

PRESIDEN Joko 'Jokowi' Widodo. - Foto Reuters

JAKARTA: Presiden Joko 'Jokowi' Widodo semalam, menegaskan Indonesia kekal sebagai negara model mengamalkan Islam sederhana.

Sehubungan itu, ia melenyapkan dakwaan pengkritik yang merujuk perhimpunan anjuran umat Islam negara itu dan hukuman penjara ke atas tokoh politik Kristian kerana menghina Islam sebagai bukti reputasinya sudah terjejas.

"Pluralisme sentiasa menjadi sebahagian DNA Indonesia.

"Walaupun berhadapan banyak cabaran, Islam di Indonesia sentiasa mahukan kesederhanaan, " katanya dalam temubual di Istana Presiden di Jakarta.

Ideologi Indonesia termasuk penyatuan rakyat, keadilan sosial dan demokrasi selain kepercayaan kepada Tuhan dan memupuk kepelbagaian agama dalam sistem sekular kerajaan.

Kumpulan Islam konservatif diharamkan ketika pemerintahan bekas Presiden Suharto, yang berakhir pada 1998, tetapi semakin kukuh sejak kebelakangan ini.

Ketegangan agama dan politik memuncak akhir tahun lalu apabila golongan Islam mengetuai bantahan ratusan ribu rakyat di Jakarta menentang gabenor bandar raya berkenaan ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama, yang berketurunan Cina dan beragama Kristian, yang didakwa menghina al-Quran.

Purnama kalah dalam usahanya untuk pemilihan semula ke jawatan itu di tangan pencabarnya yang beragama Islam April lalu selepas beberapa bulan bantahan dilakukan terhadapnya oleh Barisan Pertahanan Islam (FPI).

Mei lalu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun kerana menghina Islam.

Reuters

Berita Harian X