Selasa, 4 Julai 2017 | 11:04am

Warga Myanmar maut ditikam


NANDA menunjukkan wajah lelaki warga Myanmar berumur 23 tahun yang dicari polis untuk membantu siasatan kes pembunuhan di sebuah kebun sayur di Kampung Sungai Durian, Mukim Kurung Anai, Arau. - Foto Hafizudin Mohd Safar

ARAU: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam rakan senegaranya akibat perselisihan faham di sebuah rumah kongsi di Kampung Sungai Durian, dekat Kurung Anai, di sini.

Dalam kejadian jam 10.56 malam itu, mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh di kebun sayur di kawasan itu, maut akibat tikaman pada leher.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya giat memburu suspek berusia 23 tahun yang juga rakan sekerja mangsa.

"Mangsa dan suspek dikatakan bertengkar berikutan tidak mahu berpindah ke kediaman kongsi lain seperti diarahkan majikan.

"Ketika bertengkar itu, mangsa dikatakan ditikam suspek, menyebabkan penghuni lain di rumah kongsi terbabit lari menyelamatkan diri," katanya.

Nanda berkata, rumah kongsi di dalam sebuah kebun sayur di sini dihuni mangsa bersama 10 yang lain termasuk suspek.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

66 dibaca
Berita Harian X