Selasa, 4 Julai 2017 | 2:34pm

KPMM-MAPEX sasar jual 100,000 unit rumah

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) menyasar jualan 100,000 unit rumah pada Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM) tahun ini.

Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos ini.

Dengan tema 'Rumah Mampu Milik Sempurna, Rakyat Sejahtera', penganjuran karnival perumahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada bakal pembeli dengan mengumpulkan pelbagai pilihan perumahan dengan diskaun dan promosi menarik di bawah satu bumbung.

Pengerusi Jawatankuasa MAPEX 2017, Datuk Ng Seing Liong berkata pihaknya berbesar hati kerana penganjuran karnival itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Istimewanya KPMM-MAPEX tahun ini, ia memberi tumpuan kepada kediaman mampu milik yang berharga di bawah RM500,000 dan ia dijangka menjadi tarikan utama pengunjung.

"Turut dipamerkan adalah unit kediaman dengan diskaun Bumiputera dan kami menyasar lebih 60 pemaju serta agensi kerajaan dan institusi kewangan akan menyertai karnival kali ini," katanya.

Antara pemaju yang sudah mengesahkan penyertaan pada KPMM-MAPEX tahun ini adalah Glomac Bhd, IJM Land Bhd, MKH Bhd, UEM Sunrise Bhd, Mitraland Group, Matrix Concepts Holdings bhd dan pelbagai lagi agensi kerajaan di bawah Jabatan Perumahan Negara.

Tambahnya lagi, REHDA yakin dengan sokongan jitu dari pihak berkaitan dan berharap MAPEX akan terus memainkan peranannya untuk menyediakan platform yang tepat kepada bakal pembeli dalam mencari rumah impian mereka.

"Saya menyeru kepada pempamer yang berminat untuk turut serta dalam karnival berkenaan supaya segera menghubungi kami kerana gerai jualan pilihan adalah terhad," katanya.

Karnival yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam itu juga turut menawarkan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik kepada pengunjung selain menyediakan rebat tunai bernilai RM30,000 kepada pembeli rumah bertuah berdasarkan terma dan syarat.

INFO:

* Pengunjung berpeluang mendapat tips hartanah daripada pakar dalam sesi ceramah pada 12 dan 13 Ogos (Sabtu dan Ahad).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X