Selasa, 4 Julai 2017 | 4:20pm

Pahang tarik pelaburan RM56.9 bilion


KETUA Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Pelaburan swasta di Pahang terus berkembang, dengan sebahagian besarnya dipacu oleh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan kerja-kerja infrastruktur awam.

Sehingga Mei lalu, Pahang telah berjaya menarik RM56.9 bilion pelaburan domestik dan antarabangsa yang mewujudkan lebih 53,565 peluang pekerjaan untuk rakyat, seterusnya telah meningkatkan taraf hidup penduduk negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata pelaburan swasta dalam sektor pembuatan di Pahang kini berjumlah RM29 bilion, dengan pewujudan lebih 35,400 peluang pekerjaan.

"Ia disumbangkan menerusi pelaburan untuk pembinaan sebuah kilang pengeluaran baja kimia baharu oleh Sichuan Migao Chemical Fertilizer Industry Co., Ltd di Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) baru-baru ini.

"Sementara itu, pembinaan Pusat Siber (Cybercentre) di Taman Teknologi Pahang (PTP) sedang giat berjalan dan dijangka siap menjelang Ogos tahun ini.

"Ia memudahkan pertumbuhan industri makanan halal, bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi serta agroteknologi yang akan ditempatkan di PTP.

"Industri berkenaan dikenal pasti sebagai antara perniagaan global yang paling pantas berkembang di seluruh dunia dan ia dijangka menyediakan platform untuk lebih banyak pelaburan dalam segmen berkaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ia dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pahang yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Tambahnya lagi, susulan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Pahang kini muncul sebagai sebuah destinasi pilihan yang berdaya saing dan berdaya tahan untuk pelabur.

"Kerajaan Persekutuan akan terus melabur dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan infrastruktur strategik untuk terus memudahcara dan merangsang pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk Rakyat melalui peningkatan pelaburan dan pertumbuhan sosio-ekonomi," katanya.

Kemasukan pelaburan di Pahang dijangka meningkat dengan penyempurnaan beberapa projek infrastruktur.

Antaranya termasuklah Peluasan Pelabuhan Kuantan yang akan menjadi sebuah pelabuhan laut dalam menjelang tahun 2018.

Ketika ini, pembinaan pemecah ombak di Pelabuhan Kuantan sedang berada di peringkat akhir manakala kerja-kerja infrastruktur luaran di pelabuhan tersebut seperti persimpangan, jejambat dan jalan masuk baharu ke pelabuhan sedang berjalan lancar dan akan disiapkan secara berfasa.

Di samping itu, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer akan meningkatkan kesalinghubungan di Wilayah itu dengan ketara, lantas meluaskan pasaran untuk sumber dan perdagangan.

ECRL akan menghubungkan kawasan-kawasan ekonomi dan perindustrian utama dalam ECER termasuk Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kuantan Sentral, Pelabuhan Kuantan dan Cherating di Pahang hingga ke Tumpat di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Pantai Barat.

Berita Harian X