Selasa, 4 Julai 2017 | 7:23pm

Timbang semula larangan eksport kayu getah

PRESIDEN Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menimbang semula larangan mengeksport kayu getah kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pekebun kecil.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, berkata isu kekurangan bahan mentah itu perlu dibincangkan secara terperinci selain mengambil kira kesannya kepada setiap sektor industri.

"Bukan sahaja sektor hiliran yang menerima kesannya, malah keseluruhan industri, terutama pekebun kecil getah yang menyumbang lebih 95 peratus daripada pengeluaran getah negara.

"Pekebun kecil getah sudah cukup terbeban dengan harga getah yang semakin jatuh, hingga RM1.50 sekilogram untuk getah beku. Larangan ini akan meningkatkan beban, terutama kepada mereka yang mempunyai pokok tua dan mahu menjual pokok," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Aliasak berkata, PKPKM turut percaya dengan dakwaan pengusaha mengenai kekurangan kayu getah untuk kegunaan industri pembuatan perabot, namun menafikan kekurangan itu disebabkan aktiviti pengeksportan kayu getah.

Beliau berkata, kekurangan berkenaan disebabkan beberapa faktor lain seperti kurang aktiviti tanam semula pokok getah dan faktor tanah yang tidak subur selain penanaman getah yang tidak meluas di Muar.

Menurutnya, sehingga 2008, pekebun kecil getah menikmati harga kayu getah yang tinggi, tetapi jatuh secara drastik selepas cukai eksport dilaksanakan.

"Pekebun kecil menikmati jualan harga kayu getah sehingga RM20,000 sehektar sebelum 2008, namun selepas cukai eksport dilaksanakan harganya jatuh sehingga RM 2,000 ke RM3,000 sehektar, berbeza dengan negara Thailand yang masih menikmati harga kayu getah yang tinggi sehingga kini.

"Larangan ini akan menambah lagi beban mereka terutama untuk aktiviti penanaman semula," kata Aliasak.

- BERNAMA

Berita Harian X