Rabu, 5 Julai 2017 | 12:03pm

Penyu mati akibat masalah pernafasan

PENYU hijau yang ditemui mati terdampar di pantai Lok Kelia, Kota Belud. - Foto ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah mengesahkan seekor penyu hijau yang ditemui terdampar di pantai Lok Kelia, Kota Belud semalam, mati akibat masalah pernafasan kronik.

Pengarahnya, Augustine Tuuga, berkata bedah siasat ke atas penyu betina berukuran 94 sentimeter panjang dan dianggar berumur 30 tahun itu mendapati berlaku pendarahan akibat luka dalam sistem pernafasannya.

"Bedah siasat tidak menemui apa-apa perubahan pada sistem pencernaannya. Kami hanya menemui rumpai laut yang biasa dimakan manusia, menunjukkan ia mungkin ke ladang rumpai laut untuk makan sebelum mati," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain Kota Belud, seekor lagi penyu ditemui terdampar di pantai Teluk Likas di sini, hari ini dan bangkainya sudah diambil untuk bedah siasat.

Berita Harian X