Rabu, 5 Julai 2017 | 3:29pm

Sewa penginapan transit RM1 semalam


Presiden Komuniti Kepolisan Malaysia, Kuan Chee Heng (tengah) melancarkan Rumah Inap RM1 ringgit bagi golongan yang kurang bernasib di Taman Puchong Utama. - Foto Halim Salleh

PUCHONG : Bunyinya seperti tidak masuk akal, tetapi itulah dilakukan oleh Kuan Chee Heng

yang menawarkan harga penginapan transit RM1 semalam dan tambang kereta serendah 10 sen bagi membantu golongan memerlukan tempat tinggal ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Rumah penginapan lengkap dengan kemudahan penghawa dingin, mesin basuh dan alat pemanas air berharga RM1 semalam disediakan khusus untuk ahli keluarga pesakit yang tiada tempat tinggal ketika menemani pesakit di hospital kerajaan.

Selain itu, mereka juga boleh menikmati tambang 10 sen menaiki kereta atau van untuk mendapatkan rawatan atau melawat saudara yang sakit di hospital kerajaan berhampiran.


Pelancaran Rumah Inap RM1 ringgit bagi golongan yang kurang bernasib baik di Taman Puchong Utama. - Foto Halim Salleh

Chee Heng, yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia berkata ia sebahagian daripada kerja amal yang dilakukannya.

Beliau yang popular di laman sosial menggunakan identiti "kentang", berkata kemudahan itu untuk membantu mereka yang tidak mampu, dalam kesusahan dan keluarga pesakit yang tidak mampu menyewa hotel untuk berulang alik ke hospital berhampiran ketika menjaga ahli keluarga yang dirawat di hospital kerajaan.

Beliau berkata sebanyak dua rumah teres dua tingkat yang mempunyai tiga bilik disediakan ketika ini, yang beralamat di No 8 dan 13, Jalan PU8/1B, Taman Puchong Utama, Selangor.

"Keluarga pesakit yang berhasrat menginap di Rumah RM1 boleh menghubungi saya di talian, 012-2732148 atau merujuk kepada agensi sosial dan kebajikan di hospital mereka mendapatkan rawatan.

"Mereka boleh tinggal di rumah ini selama tempoh yang tidak dihadkan selagi pesakit berada di hospital. Hanya bawa pakaian untuk tinggal di sini kerana semua kemudahan sudah ada termasuk telekung dan sejadah untuk keluarga beragama Islam.

"Hari ini pelancaran perasmian rumah ini tetapi sudah ada keluarga mangsa kebakaran menginap di sini. Esok akan ada satu keluarga dari Kedah, datang menghantar anak mereka mendaftar di universiti berhampiran akan menginap sama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Rumah Transit RM1, di sini, sebentar tadi.

Chee Heng yang juga ahli perniagaan berkata idea membantu orang dalam kesusahan tercetus selepas beliau melihat ramai ahli keluarga pesakit terpaksa tidur di dalam kereta di kawasan parkir hospital.

Katanya, ada ahli keluarga pesakit turut ditimpa kesusahan lain termasuk terkena serangan strok haba kerana tinggal di dalam kereta untuk tempoh lama.

Mengenai kos perbelanjaan menguruskan rumah berkenaan, Chee Heng berkata ia dibiayai individu perseorangan yang menyalurkan sumbangan.

"Harga sewa sebuah rumah dan perbelanjaan dianggarkan RM4,500 sebulan disumbangkan oleh Datuk Paul Lim (ahli perniagaan). Selain itu, rakan-rakan lain tidak terkecuali membantu kami merealisasikan kemudahan untuk golongan memerlukan.

"Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk kita sama-sama membantu memperluaskan idea ini untuk menyediakan lebih banyak rumah dan kemudahan kepada orang dalam kesusahan," katanya.

Pelancaran Rumah Inap RM1 ringgit bagi golongan yang kurang bernasib baik di Taman Puchong Utama. - Foto Halim Salleh
Berita Harian X