Rabu, 5 Julai 2017 | 4:37pm

Khairul Hafiz harapan Malaysia raih emas 100m

PELARI pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, 18, menjalani latihan harian di Sekolah Sukan Negeri (SSN), SMK Seri Kota di Jalan Ayer Leleh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Selepas kali terakhir meraih emas acara pecut 100 meter lelaki Sukan SEA 14 tahun lalu, harapan besar kini disandarkan kepada raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Harapan bukan sahaja untuk meraih emas acara riben biru itu, malah turut memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibowo dari Indonesia yang mencatatkan 10.17 saat pada Sukan SEA Laos 2009.

Misi pingat emas dilihat tidak mustahil buat pelari berusia 18 tahun itu yang telah memecahkan rekod kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek (10.30s) di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada Julai tahun lalu dengan catatan 10.18s, hanya 0.01s ketinggalan berbanding rekod Sukan SEA.

Malaysia yang kali terakhir meraih emas menerusi Nazmizan Muhammad yang mencatat 10.48s di Sukan SEA 2003 Vietnam, dilihat turut berpeluang menyapu pingat emas dan perak acara 100m dan emas acara berganti-ganti 4x100m lelaki berikutan peningkatan prestasi atlet pecut muda negara.

"Saya memang mahu melakarkan satu kejutan pada penampilan pertama di Sukan SEA dengan memecahkan rekod.

"Sebelum itu, saya perlu mendapatkan catatan sekitar 10.20s supaya dapat mencapai puncak pada Ogos untuk memecahkan rekod," katanya.

Catatan terbaik Khairul Hafiz musim ini ialah 10.31s di Terbuka Thailand berbanding pencabar terdekat dan juara bertahan Sukan SEA, Eric Cray dari Filipina yang melakukan 10.27s dalam satu kejohanan di Amerika Syarikat, hanya 0.02s perlahan berbanding masa yang dicatatkannya ketika meraih emas di Singapura, dua tahun lalu.

Pencabar lain yang berpotensi untuk memberikan saingan kepada Khairul Hafiz, yang menerima jolokan 'The Flying Youth' ialah pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Jirapong Meenapra dari Thailand dan Yaspi Boby dari Indonesia.

Selain itu, seorang lagi pelari pecut negara, Jonathan Nyepa turut dilihat bakal memberi saingan kepada Khairul Hafiz pada Sukan Sea nanti.

Catatan terbaru Jonathan ialah 10.28s di Terbuka Korea, bulan lalu.

Selain Khairul Hafiz dan Jonathan, prestasi Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy turut menunjukkan tanda-tanda positif buat Malaysia untuk tampil menguasai acara 100m, 200m dan 4x100m lelaki.

"Bagi saya ia bukan tekanan tetapi satu cabaran, lebih-lebih apabila bakal beraksi menentang Cray nanti. Saya akan meningkatkan fokus, dengar nasihat jurulatih dan terus memperbaiki kelemahan yang ada," kata Khairul Hafiz.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim tampak yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk memecahkan rekod Sukan SEA itu.

"Kita memang dah bersedia dan fokus 100 peratus terhadap Sukan SEA dan persiapan berada di tahap terakhir sekarang. Kita berazam untuk pecahkan 10.16s dan saya yakin Khairul mampu melakukannya," katanya.

Gambaran awal dapat diperoleh pada Kejohanan Asia (ATF) di India bermula esok, apabila kebanyakan atlet dari Asia Tenggara bakal berentap, selain Terbuka Malaysia pada 17 dan 18 Julai ini.

Namun, bagi ketua jurulatih olahraga kebangsaan Zainal Abas, ketiadaan pengalaman di pentas Sukan SEA menjadi antara cabaran yang perlu diatasi oleh Khairul Hafiz untuk mencapai misinya. - BERNAMA

Berita Harian X