Rabu, 5 Julai 2017 | 6:25pm

Perbicaraan suspek tembak MH17 dikendalikan mahkamah Belanda


Menteri Luar Belanda, Bert Koenders.

THE HAGUE: Perbicaraan terhadap mana-mana suspek yang ditahan kerana menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di Ukraine, akan diadakan di Belanda.

Keputusan itu diumumkan pihak berkuasa Belanda, hari ini.

Dalam insiden pada 17 Julai 2014 itu, pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh dan mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal.

Hasil siasatan bersama antarabangsa memutuskan pesawat Boeing 777 itu ditembak oleh senjata BUK buatan Russia dari kawasan dikuasai pemberontak, tetapi sehingga kini tiada suspek insiden itu ditahan.

Semua negara yang menyertai pasukan siasatan bersama (JIT) iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine, bersetuju supaya mana-mana perbicaraan diadakan mengikut sistem perundangan Belanda.

"Semua negara bersetuju bahawa suspek akan didakwa di Belanda dan proses itu akan dilaksanakan dengan kerjasama serta sokongan pihak antarabangsa," kata Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dalam satu kenyataan. - AFP

79 dibaca
Berita Harian X