Rabu, 5 Julai 2017 | 8:15pm

Perhilitan pantau kemunculan buaya di Sungai Pahang

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang memantau mengenai dakwaan kemunculan buaya di Sungai Pahang dekat Kampung Kelola, Pulau Tawar, Jerantut, sejak dua hari lalu.

Pengarah Perhilitan Pahang, Ahmad Azhar Mohammed berkata anggota Perhilitan sudah melakukan pemeriksaan sebaik sahaja berita mengenai kemunculan buaya itu viral dalam media sosial, namun masih belum menemui sebarang kesan kehadiran haiwan berkenaan.

"Selain laporan yang viral dalam media sosial, kita ada juga menerima laporan daripada penduduk kampung petang semalam mengenai sangkar ikan yang didakwa telah diceroboh oleh buaya.

"Hasil tinjauan yang dilakukan pagi tadi, memang terdapat kerosakan pada sangkar ikan seperti dilaporkan, namun masih belum dapat disahkan perkara itu disebabkan oleh buaya atau haiwan lain seperti memerang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, penduduk mendakwa kemunculan buaya berkenaan dikesan selepas kejadian banjir pada awal tahun lalu dan setakat ini, kehadirannya hanya disahkan menerusi gambar yang sempat diambil oleh penduduk ketika reptilia itu muncul di tebing sungai.

Ahmad Azhar juga tidak menolak kemungkinan buaya berkenaan hanya lalu di kawasan itu untuk berpindah ke tempat baharu.

Dalam masa sama, katanya pemasangan papan tanda akan dilakukan di kawasan berkenaan sebagai peringatan kepada penduduk bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

GAMBAR menunjukkan seekor buaya yang sedang berjemur di tebing pasir Sungai Pahang yang menjadi viral selepas ditemui penduduk di Kampung Kelola, Pulau Tawar. - Foto Nazirul Roselan
GAMBAR menunjukkan seekor buaya yang sedang berjemur di tebing pasir Sungai Pahang yang menjadi viral selepas ditemui penduduk di Kampung Kelola, Pulau Tawar. - Foto Nazirul Roselan
HAMIDIN Yaakob 36, menceritakan buaya yang ditemuinya ditengah Sungai Pahang di Kampung Kelola, Puala Tawar. Foto Nazirul Roselan
HAMIDIN Yaakob 36, menceritakan buaya yang ditemuinya ditengah Sungai Pahang di Kampung Kelola, Puala Tawar. Foto Nazirul Roselan
Berita Harian X