Khamis, 6 Julai 2017 | 11:01am

50 koperasi sekolah disasar kutip RM1 juta


ABDUL Fattah (tengah) meninjau aktiviti perniagaan di kiosk Koperasi SMK Tansau Berhad di Putatan. - Foto Mohd Izham Unnip Abdullah

PUTATAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 50 koperasi sekolah di seluruh negara mendapat perolehan melebihi RM1 juta menerusi aktiviti perniagaan masing-masing menjelang tahun 2020.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata walaupun ketika ini hanya lima koperasi sekolah tersenarai mencatat perolehan melebihi RM1 juta, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian semasa perniagaan koperasi sekolah yang menunjukkan peningkatan perolehan.

"Berdasarkan penilaian ANGKASA, bagi tahun 2017 ini saja ada 35 koperasi sekolah yang mencatat perolehan lebih RM800,000 pada tahun lalu mampu mencapai perolehan RM1 juta kerana hanya tinggal kira-kira RM200,000 saja perlu ditambah bagi membolehkan koperasi terbabit menyertai 'Kelab Satu Juta'.

"Sebab itulah kita yakin untuk melihat sekurang-kurangnya 50 koperasi sekolah di seluruh negara mendapat perolehan melebihi RM1 juta pada tahun 2020," katanya selepas merasmikan Program Keusahawanan dan Kiosk Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau Berhad, di sini, pagi ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Tansau yang juga pengerusi koperasi sekolah berkenaan, Siti Salmiah Samaie.

Abdul Fattah berkata, langkah diambil kebanyakan koperasi sekolah ketika ini dengan mempelbagaikan aktiviti perniagaan mampu menyumbang kepada peningkatan perolehan, selain membantu masyarakat.

"Kalau dulu, koperasi sekolah hanya menjual alat tulis, sekarang banyak jenis perniagaan diceburi termasuk perniagaan runcit dan kedai makan yang pelanggannya terbuka kepada orang ramai.

"Kita yakin barangan dijual di kedai koperasi lebih murah dan ini tentunya membantu meringankan kos sara hidup masyarakat. Selain itu, langkah sekolah membuka kiosk koperasi memberi peluang kepada ahli untuk menjadi usahawan," katanya.

Sejajar perkembangan itu, katanya, ANGKASA turut menyasarkan perolehan hasil perniagaan semua koperasi sekolah pada tahun ini meningkat kepada RM400 juta berbanding RM359.29 juta pada tahun lalu.

Sementara itu, Siti Salmiah berkata, Koperasi SMK Tansau Berhad yang mencatat perolehan kira-kira RM500,000 pada tahun lalu menyasarkan perolehan RM1 juta pada tahun ini menerusi pembukaan empat kiosk baharu koperasi.

59 dibaca
Berita Harian X