Khamis, 6 Julai 2017 | 11:16am

1,368 barangan rampasan dilupus

PELBAGAI barangan rampasan dilupuskan polis di Miri sebentar tadi.

MIRI: Sejumlah 1,368 barangan rampasan polis, kebanyakannya mesin judi haram yang dirampas dalam tempoh lima tahun sejak 2012 dilupuskan di sini, sebentar tadi.

Daripada jumlah itu, 1,248 barangan adalah komputer judi, selebihnya 107 (motosikal) dan 13 (kereta), yang mana semua kes itu sudah selesai untuk perbicaraan di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, semua barangan rampasan itu dilupuskan dan dilelong sebagai 'besi buruk'.

"Pelupusan itu dibuat selepas semua kes berkenaan berjaya diselesaikan di mahkamah dan barangan itu tidak dituntut pemilik walau pun notis sudah dikeluarkan.

"Justeru, polis mengambil keputusan melupuskan barangan itu mengikut arahan yang diberikan pihak atasan," katanya ketika menyaksikan pelupusan barangan itu di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, nilai rampasan tidak tinggi kerana barangan itu dijual sebagai 'besi buruk'.

Berita Harian X