Khamis, 6 Julai 2017 | 12:50pm

Dedikasi emas Tarian Piala Dunia untuk keluarga, negara

KOTA KINABALU: "Pingat emas ini hadiah terbesar saya buat keluarga dan negara," kata Matinin Sungkin.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud itu mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan pemenang pingat emas pertandingan Tarian Piala Dunia (DWC) yang berlangsung di Offenburg, Jerman, baru-baru ini.

Ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, sebentar tadi, Matinin yang meraih emas kategori solo junior tarian kebudayaan berkata, beliau tidak menyangka mampu meraih pencapaian itu di peringkat antarabangsa, apa lagi ia disertai wakil dari serata dunia.

Mengakui gementar sepanjang mengikuti pertandingan itu, anak ke-10 daripada 12 beradik itu bagaimanapun berkata, dia tetap yakin setiap kali membuat persembahan kerana matlamatnya hanya mahu mengharumkan nama negara di mata dunia.

"Sejak mula dimaklumkan kami akan menyertai pertandingan DWC di Jerman, saya memang sudah meletakkan niat untuk membanggakan nama keluarga serta negara.

"Jadi apabila berjaya memperoleh emas, pastinya ini kejayaan untuk semua... bukannya saya seorang sahaja," katanya.

Matinin adalah antara peserta mewakili kumpulan penari Persatuan Tobilung Sabah Bersatu (TOBISA) pada pertandingan yang diadakan dari 24 Jun hingga 1 Julai lalu.

Selain Matinin, TOBISA turut merangkul pingat emas bagi kategori Dance Impact dan dipilih penerima Anugerah Pilihan Pengerusi, selain pingat gangsa kategori solo kanak-kanak menerusi Farihin Abdullah, 11.

Sementara itu, jurulatih TOBISA-Windbreeze Dance Company, Mohd Hairul Nazmie Talib, berkata secara keseluruhannya pihaknya bersyukur kerana mendapat tempat 10 kumpulan terbaik daripada 40 negara bertanding.

"Setakat ini, kita masih belum mengetahui kedudukan sebenar namun hanya dimaklumkan kami berada antara 10 terbaik. Tahun lalu, kita berjaya mendapat tempat kelima pada keseluruhan acara," katanya.

Tahun ini adalah penyertaan kali keempat TOBISA dalam pertandingan itu sejak tahun 2014.

 

 

KUMPULAN tari TOBISA WindBreeze Dance Company bergambar dengan pingat yang dimenangi pada pertandingan Dance World Cup 2017 di Jerman sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). - Foto Mohd Adam Arinin
Berita Harian X