Khamis, 6 Julai 2017 | 5:55pm

Kareena Kapoor di Bangsar esok

KAREENA Kapoor. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Peminat Kareena Kapoor, 36, berpeluang bertemu bintang popular Bollywood itu yang diterbangkan ke negara ini bersempena pembukaan Juiceco Malaysia, di Jalan Telawi, Bangsar, 7 petang esok.

Sudah pasti ramai yang ingin melihat sendiri kecantikan pelakon filem Kabhi Khushi Kabhie Gham itu yang turut disenaraikan sebagai antara aktres paling jelita.

Menerusi laman sosial Facebook Juiceco, difahamkan beberapa peminat bertuah berpeluang bertentang mata dengan aktres terbabit dalam sesi eksklusif yang diadakan di premis baharu berkenaan.

Kunjungan wanita yang baharu lima bulan menyandang gelaran ibu kepada bayi comel diberi nama Taimur Ali Khan Pataudi ke Kuala Lumpur itu adalah yang ketiga selepas julung kali menjejakkan kaki ke sini pada 2007.

Dua tahun lalu, sekali lagi Kareena bertandang ke negara ini bagi merasmikan pelancaran sebuah kedai emas di Jalan Masjid India hingga membuatkan kawasan terbabit sesak dengan pengunjung.

Menyelak latar belakang anak pasangan selebriti popular, Randhir dan Babita Kapoor, popularitinya menyerlah menerusi kemunculan sulung di layar perak bersama filem Refugee pada 2000.

Selain naskhah romantis seperti Kabhi Khushi Kabhie Gham, isteri kepada aktor, Saif Ali Khan, itu juga membintangi aneka genre lain membabitkan filem berjudul Bodyguard, Ra One, Bajrangi Bhaijaan, Jab We Met dan 3 Idiots.

Selain memahat nama dalam arena lakonan, wanita ini juga dikenali sebagai penulis dan pereka pakaian.

Berita Harian X