Khamis, 6 Julai 2017 | 9:30pm

Tingkatkan kelancaran trafik ketika perayaan


LANGKAH untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kelancaran aliran trafik ketika musim perayaan perlu dilakukan dengan sentiasa mengenal pasti lokasi yang sesak dan laluan alternatif untuk pengguna jalan raya.- Foto hiasan

SEREMBAN: Langkah untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kelancaran aliran trafik ketika musim perayaan perlu dilakukan dengan sentiasa mengenal pasti lokasi yang sesak dan laluan alternatif untuk pengguna jalan raya.

Anggota Pasukan Petugas Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, berkata penempatan pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau RELA di lokasi tertentu telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Berlainan dengan di Kuala Lumpur, setiap permulaan percutian perayaan, kesesakan lalu lintas adalah ketara kerana semua laluan baik ke utara, selatan atau timur, akan melalui bandar raya Kuala Lumpur atau Lembah Klang. Ini memerlukan laluan lebih efektif dan pemantauan lebih berkesan.

"Pada Op Selamat tahun ini, keadaan di Kuala Lumpur lebih terkawal berbanding tahun lalu dengan pengurangan kemalangan dan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan utama.

"Satu mekanisme penyuraian lalu lintas selepas tol Sungai Besi lebih baik perlu diwujudkan agar tidak berlaku kesan kesesakan dan mengganggu aliran trafik yang boleh mengakibatkan kesesakan besar jika kelengahan selepas tol Sungai Besi tidak diatasi dengan segera," katanya.

Beliau yang juga Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pemanduan Pintar (SDRC) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), berkata kajian punca kelengahan selepas tol Sungai Besi semasa tempoh awal dan akhir cuti perayaan perlu dilakukan untuk merancang langkah-langkah tindakan lebih berkesan pada tahun hadapan terutamanya menjelang cuti perayaan Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, katanya, beliau mendapati Op Selamat tahun ini menunjukkan banyak perubahan cara pemanduan semasa tempoh operasi itu dilaksanakan.

"Ini perlu dipuji kerana usaha bersepadu polis, JPJ dan SPAD menampakkan hasil dengan kadar pematuhan lebih baik khususnya pengurangan penggunaan lorong kecemasan dan pematuhan had laju. Apa yang ketara ialah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan berbanding tahun-tahun lalu," katanya. - BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X