Khamis, 6 Julai 2017 | 9:39pm

Dua bot asing memukat di Kemaman ditahan

MUHAMAD Rezal Kamal Bashah memeriksa hasil tangkapan sotong kering di atas bot nelayan yang ditahan di Pengkalan Maritim APMM Teluk Kalong. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan asing bersama dua tekong dan 22 awak-awak di perairan Kemaman, semalam.

Kedua-dua bot terbabit ditahan pada kedudukan 105 batu nautika dari Kuala Kemaman pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Pengarah Pengkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, kedua-dua bot terbabit cuba memotong tali pukat mereka sebaik menyedari kehadiran kapal peronda APMM yang melakukan rondaan rutin.

"Sebaik diperiksa, kedua-dua bot yang sedang menangkap ikan berdekatan antara satu sama lain itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Semua nelayan terbabit dibawa ke Pangkalan Maritim APMM Bukit Kuang bersama bot mereka untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim APMM Teluk Kalong, dekat sini, hari ini.

Muhamad Rezal berkata, pemeriksaan lanjut menemui ikan campur seberat 2,000 kilogram, sotong (1,000 kg), sotong kering dan kira-kira 10,000 liter minyak diesel dalam tong dram atas salah sebuah bot terbabit.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan hasil tangkapan, alat kelengkapan, minyak diesel dan dua buat bot terbabit dianggarkan RM1.5 juta.

"Tekong dan awak-awak ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengkiut Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda hingga RM1 juta setiap seorang manakala awak-awak RM500,000," katanya.

Berita Harian X