Khamis, 6 Julai 2017 | 9:45pm

Pencuri bakau ditahan

PASUKAN Polis Marin bersama suspek dan pokok bakau yang dipercayai ditebang secara haram di perairan Sungai Pitas, Batu 7, di Sandakan. - Foto ihsan PPM Sandakan

SANDAKAN: Kegiatan seorang lelaki mencuri bakau sebelum dijual kepada penduduk setinggan untuk membuat rumah dan jambatan terbongkar apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), tadi pagi.

Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan oleh anggota PPM yang membuat rondaan Op Pensura, kira-kira jam 9.30 pagi di kawasan Sungai Pitas, Batu 7, di sini.

Pegawai Memerintah PPM Sandakan, Asisten Superintendan Mazre Che Mahmod, berkata hasil pemeriksaan menemui sembilan batang kayu bakau bersama sebilah kapak dan gergaji dalam perahu digunakan untuk menebang pokok bakau secara haram.

"Pokok bakau itu dianggarkan berharga RM500 dipercayai untuk dijual kepada penduduk setinggan.

"Lelaki itu dan rampasan dibawa ke markas PPM untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Perhutanan Negeri Sabah 1963," katanya di sini, sebentar tadi.

Dalam kes berasingan, Mazre berkata, PPM merampas sebuah bot digunakan untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin ke negeri ini menerusi kawasan bakau Sungai Pitas kira-kira jam 7 pagi tadi.

Katanya, pasukannya cuba mengejar bot terbabit, bagaimanapun tekong dan semua pendatang asing dapat melarikan diri dengan memasuki kawasan bakau di perairan itu.

Berita Harian X