Jumaat, 7 Julai 2017 | 2:55pm

Daftar sebagai pengguna bekalan air

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (empat dari kiri) mendengar taklimat bekalan air daerah Sandakan, hari ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom.

SANDAKAN: Kerajaan negeri bekerjasama dengan pemimpin kawasan dalam usaha menggalakkan penduduk mendaftar sebagai pengguna bekalan air.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata daerah ini mempunyai lebihan bekalan kira-kira 57 juta liter sehari (MLD) daripada empat loji air.

Katanya, ramai dikesan belum mendaftar sebagai pengguna termasuk penduduk tempatan yang mendiami rumah setinggan, selain yang menetap di kampung dan pulau.

"Justeru, kita bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan agar mendaftarkan penduduk sebagai pengguna dan mendapatkan bekalan air sah.

"Wakil rakyat akan beri panduan kawasan yang perlu diberi tumpuan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat bekalan air daerah Sandakan di sini, hari ini.

Empat loji air yang ada di daerah ini adalah loji rawatan air Segaliud, Kinabatangan, Sibuga dan Hilltop dengan kapasiti bekalan air ketika ini sebanyak 217 MLD, manakala purata pengeluaran sebanyak 156 MLD.

Pairin berkata, kerajaan negeri juga akan mengkaji semula pendekatan digunakan dalam usaha membanteras kegiatan penyambungan bekalan air secara haram di kawasan setinggan.

Katanya, isu berkenaan akan menyebabkan jumlah bekalan air yang disediakan Jabatan Air Negeri berkurangan, sekali gus merugikan kerajaan.

"Selain itu, banyak aduan tertentu seperti bekalan air tak sampai, paip ada tetapi tiada air dan kebocoran pada saluran paip dan kita akan tangani masalah ini," katanya.

Berita Harian X