Jumaat, 7 Julai 2017 | 6:47pm

Misbun perlu 140 jam bimbing Chong Wei


DATUK Misbun Sidek bersama Datuk Lee Chong Wei ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mengakui memerlukan sekurang-kurang 140 jam tempoh latihan bagi mempersiapkan Datuk Lee Chong Wei menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang bermula 21 Ogos ini.

Dengan hanya berbaki lebih kurang sebulan setengah sebelum kejohanan bermula, Misbun mengakui masa semakin suntuk dan beliau perlu bijak dalam merancang program latihan Chong Wei.

"Kalau ikutkan saya perlu sekurang-kurang tiga bulan atau 140 jam sesi latihan bersama Chong Wei. Namun, dengan masa yang semakin suntuk ini, ia adalah cabaran untuk saya, itu belum tolak waktu rehat dia semua.

"Justeru, saya perlu bijak mengenai bagaimana saya mahu mempersiapkan Chong Wei. Usia Chong Wei juga semakin meningkat dan saya perlu berhati-hati untuk mengelak dia daripada mengalami kecederaan bagi memastikan dia berada pada tahap terbaik apabila kejohanan bermula," kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Chong Wei sendiri menagih magis Misbun yang kembali memulakan tugas bersama badan induk itu sejak Isnin lalu dalam merealisasikan impian pemain itu meraih gelaran sulung Kejohanan Dunia tahun ini.

Bagaimanapun, Misbun tidak berani memberi jaminan beliau mampu membawa Chong Wei muncul juara tetapi menegaskan sudah mempunyai ramuan tersendiri bagi memastikan pemain nombor dua dunia itu menjadi pencabar utama kejuaraan.

"Chong Wei sekarang sudah menjadi sasaran semua pemain yang mahu menewaskannya. Jadi, saya perlu memikirkan sesuatu untuk mengatasi perkara ini.

"Saya ada cara saya tetapi saya tidak boleh dedahkan kerana ia adalah senjata untuk Chong Wei. Apa pun saya berjanji akan membuat yang terbaik bagi membantu Chong Wei. Selebihnya kita perlu lihat pada hari kejohanan nanti," katanya.

Chong Wei sudah tiga kali mara ke final Kejohanan Dunia iaitu pada 2011, 2013 dan 2015 tetapi gelaran juara masih belum menjadi miliknya.

Pada edisi 2011 dan 2013 dia tewas di tangan bintang sensasi China, Lin Dan manakala 2015 Chong Wei terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Chen Long juga dari China.

Berita Harian X