Jumaat, 7 Julai 2017 | 7:09pm

Strategi suburkan minat terhadap STEM


TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan beramah mesra dengan pelajar-epalajr yang menyertai Olimpiad Matematik Antarabangsa di Rio de Janeiro, Brazil pada 12 hingga 23 Julai depan, pada Majlis Powering The Power Oleh ExxonMobil Berkaitan Pendidikan STEM di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

Beliau berkata, pelan itu adalah antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan STEM di sekolah bagi membolehkan sasaran Dasar 60:40 yang diperkenalkan pada tahun 1967, tercapai.

Katanya, inisiatif hasil kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu dirangka berikutan ketika ini, jumlah pelajar yang menyertai aliran sains khususnya di sekolah menengah masih rendah dan semakin menurun.

"Statistik kementerian menunjukkan hanya 46.7 peratus pelajar memilih subjek berkaitan STEM di peringkat menengah dan menengah atas di sekolah pada tahun 2014.

"Selain itu, kajian Science Outlook oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 2015 menunjukkan kita ketinggalan dalam membangun, memanfaat dan mengekalkan bakat STEM untuk menyumbang kepada inovasi teknologi bagi mencapai aspirasi negara.

"Pelan Pembangunan Pendidikan STEM akan melihat semula dasar, kaedah serta peningkatan inisiatif bagi menaikkan minat pelajar terhadap subjek STEM bagi mencapai matlamat Dasar 60:40," katanya pada Majlis Powering The Power Oleh ExxonMobil Berkaitan Pendidikan STEM di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Anak Syarikat ExxonMobil Malaysia, Edward Graham; Pengarah PERMATApintar, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak dan Pengarah Projek Mega Science 3.0 ASM, Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman.

Terdahulu, Kamalanathan menyaksikan penyerahan replika cek oleh ExxonMobil kepada Cabaran Sains Kebangsaan 2017 sebanyak RM250,000, selain tajaan RM120,000 kepada delegasi Malaysia yang akan menyertai Olimpiad Matematik Antarabangsa di Rio de Janeiro, Brazil pada 12 hingga 23 Julai depan.

Dasar 60:40 adalah dasar yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar bagi aliran sains sebanyak 60 berbanding 40 peratus pelajar bukan sains.

Berita Harian X