Jumaat, 7 Julai 2017 | 8:57pm

Md Raus, Zulkefli dilantik hakim tambahan

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dilantik hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.

Md Raus dilantik ke jawatan itu untuk tempoh tiga tahun mulai 4 Ogos ini dan akan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara mulai tarikh dan tempoh sama.

TAN Sri Md Raus Sharif (kiri) dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin. - Foto NSTP

Sementara Zulkefli Ahmad akan menggalas jawatan berkenaan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, selain meneruskan jawatan sedia ada bagi tempoh sama.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, di mana Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (MRR) yang bersidang pada 24 dan 25 Mei lalu.

Pelantikan kedua-dua mereka juga dibuat atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara sebelum ini, Tun Ariffin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac lalu selepas Md Raus dan Zulkefli mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

"Cadangan dan nasihat itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan," menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut menyebut, kerajaan sedang menimbangkan pembentangan cadangan di Parlimen untuk pindaan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu antara lain bagi meningkatkan umur persaraan hakim-hakim Mahkamah Apex kepada 70 tahun.

"Ini adalah selaras dengan amalan dan jurisprudens komanwel dan antarabangsa," jelas kenyataan itu.

Berita Harian X