Jumaat, 7 Julai 2017 | 9:14pm

Minggu Mini Thailand dijangka jana RM1.23j

PETALING JAYA: Minggu Mini Thailand 2017 yang diadakan pada 6 hingga 9 Julai ini dijangka menjana sekurang-kurangnya 100 transaksi perniagaan bernilai RM1.23 juta, meneruskan momentum positif pada tahun sebelumnya.

Pengarah Kementerian Kaunselor (Komersial) Kedutaan Diraja Thailand, Patcha Wutipan, berkata pada tahun ini penganjur memilih pempamer tempatan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh rakan kongsi di Malaysia.

"Ia termasuk produk makanan dan minuman (F&B) yang memiliki sijil halal, sekali gus membolehkan perniagaan ini menembusi kumpulan sasaran pengguna lebih besar," katanya pada majlis pelancaran di Pusat Beli-Belah One Utama, hari ini.

Minggu Mini Thailand 2017 dianjurkan oleh Bahagian Pemasaran Perdagangan Antarabangsa di bawah Kementerian Perdagangan Thailand bertujuan menyediakan platform kepada usahawan kedua-dua negara berhubung dan menjalin kerjasama strategik.

Wutipan berkata, Minggu Mini Thailand 2017 dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung berbanding 20,000 pada tahun lalu.

Sementara itu, Duta Thailand Ke Malaysia, Damrong Kraikruan, berkata Minggu Mini Thailand Edisi ke-9 ini adalah simbolik kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand yang terjalin lebih 60 tahun.

"Pameran ini menjadi platform untuk mengekalkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara dan mampu membawanya ke tahap lebih tinggi.

"Acara ini membolehkan usahawan dan pedagang Thailand dan Malaysia meneroka peluang perniagaan baharu dan memaksimumkan potensi sedia ada," katanya.

Bertemakan 'Gaya Hidup Urban', semua 28 peserta pempamer Minggu Mini Thailand 2017 akan mempamerkan pelbagai pilihan produk buatan Thailand antaranya kesihatan dan kecantikan.

Dilancarkan sejak 2009, acara itu berjaya menarik ribuan pengunjung setiap tahun, menjana pelbagai peluang perniagaan di samping meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai budaya dan tradisi Thailand dalam kalangan rakyat negara ini.

INFO
Minggu Mini Thailand 2017

  • Pusat Beli Belah One Utama, Petaling Jaya
  • 6-9 Julai 2017
  • 10 pagi-10 malam; masuk percuma

Berita Harian X