Jumaat, 7 Julai 2017 | 11:45pm
PEMAIN Kedah, Amirul Hisyam (kanan) diasak pemain UiTM FC, Donghyun Do pada aksi Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Osman Adnan

Piala Malaysia: Kedah berpesta gol belasah UiTM


PEMAIN Kedah, Krasniqi (tengah) diasak pemain UiTM FC, Dechi Marcel (kiri) dan Faiz Mohd Bandong pada aksi Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad menjadi watak penting ketika membantu pasukannya membelasah UiTM FC, 5-0 pada aksi Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, di sini, sebentar tadi.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada trio import - Lirison Krasniqi, Sandro da Silva dan Ken Ilso - penyerang berusia 22 tahun itu mencuri perhatian menerusi satu gol dan satu umpanan untuk memastikan Kedah terus cemerlang meraih dua kemenangan sekali gus mengutip enam mata maksimum dari dua perlawanan.

Seperti dijangka, Kedah yang menurunkan barisan terkuat, tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan apabila hantaran lintang Mohd Rizal Ghazali mudah ditampan Syafiq di hadapan pintu gol tuan rumah untuk gol pertama pelawat seawal minit kedua.

Kedah seharusnya selesa dengan gol kedua pada minit ke-11, namun Ilso ketika hanya berdepan penjaga gol, Mohd Soffuan Tawil hanya mampu menggegar tiang gol kanan sekali gus melegakan barisan pertahanan UiTM FC.

Meskipun tidak menguasai permainan tetapi pemain import skuad The Lion Troops, Akanni Sunday sering memberikan masalah kepada barisan pertahanan Kedah yang menyaksikan percubaannya ditepis Mohd Ifwat Akmal pada minit ke-14 sebelum dia sekali lagi melepasi kawalan pertahanan Kedah namun percubaannya seminit berselang tersasar ke bahagian kanan gol.

Bagaimanapun, ketika perlawanan hampir memasuki waktu rehat, Syafiq yang sebelum ini mencetak nama selaku penjaring muncul sebagai pencetus apabila hantaran lintangnya ditanduk masuk Liridon pada minit ke-43, bagi membolehkan pelawat selesa berkedudukan 2-0 sehingga babak pertama berakhir.

Babak kedua bersambung, Kedah mula mempertahankan rentak perlawanan dan peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh UiTM FC untuk mengatur serangan.

Namun kegagalan barisan serangan menyempurnakan peluang yang terhidang menyebabkan mereka terus kebuntuan gol termasuklah menerusi percubaan terbaik Nik Syafiq Syazwan yang dinafikan Ifwat pada minit ke-54 dan percubaan jauh Sadam Hashim yang singgah di palang lima minit berselang.

Walaupun Kedah mula bertahan dengan mengeluarkan pemain menyerang, Syafiq dan Baddrol Bakhtiar untuk membawa masuk bek kiri, Fitri Omar serta Mohd Akram Mahinan bagi mengukuhkan bahagian tengah, situasi itu tidak menghalang mereka daripada terus berpesta apabila Ilso melakukan rembatan leret ke penjuru kiri gol untuk menewaskan Mohd Soffuan untuk gol ketiga pelawat pada minit ke-79.

Kedah yang terus bernafsu untuk menyerang akhirnya beroleh gol keempat menerusi percubaan Sandro pada minit ke-90 sebelum Mohd Faiz Bandong menambah derita tuan rumah apabila tertampan masuk hantaran lintang Mohd Rizal ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol kelima buat Kedah sebelum wisel penamat dibunyikan.

105 dibaca
Berita Harian X