Jumaat, 7 Julai 2017 | 11:51pm

Piala Malaysia: T-Team buat NS gigit jari

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri apabila diikat pasukan T-Team, 3-3 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

PEMAIN Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck (kanan) bersaing dengan pemain, T-Team, Mohamad Fauzi Abdul Kadir pada perlawanan Piala Malaysia peringkat Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Hazreen Mohamad

Biarpun berjaya mendahului lawan 2-0 pada sebahagian besar tempoh permainan namun angkara kesilapan di benteng, impian meraih kemenangan pertama tidak kesampaian.

Tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi gerakan satu dua antara Bruno Suzuki dan Lee Andrew Tuck yang bijak memperdayakan pertahanan T-Team.

Tuck yang mencipta peluang di dalam kotak penalti lawan dengan mudah dimanfaatkan Suzuki apabila sepakan leretnya terkena tiang sebelum melantun ke gawang sekali gus menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Suhaimi Husin.

Jaringan itu menyentap semangat pemain skuad The Titans yang turun dengan harapan untuk meraih mata penuh selepas tewas kepada PKNP FC pada aksi pertama, Selasa lalu.

Bagaimanapun usaha pelawat untuk merapatkan jurang tidak kesampaian apabila serangan mereka mudah dipatahkan pertahanan tuan rumah.

Bagi pemain NS, jaringan itu nyata membangkitkan lagi semangat mereka apabila terus mengatur gerak lebih agresif bagi memburu gol kedua dalam usaha melebarkan lagi jurang.

Menerusi satu gerakan pantas, Shahrul Iqwan Samsudin melakukan percubaan dari jarak kira-kira 30 meter namun sepakannya pada minit ke-20, mudah ditangkap Mohd Suhaimi.

Bagaimanapun usaha pemain skuad Hobin Jang Hobin itu akhirnya membuahkan hasil apabila giliran Jonathan Behe menjaringkan gol kedua pada minit ke-23, selepas dia mudah menolak masuk hantaran lintang Tuck dalam kotak penalti.

Susulan jaringan itu, anak buah Mohd Asri Ninggal terus bekerja keras melakukan asakan ke kubu lawan bagi mengukuhkan lagi cengkaman, namun beberapa peluang terbaik yang dicipta di hadapan pintu gol pada 10 minit terakhir separuh masa pertama, gagal disempurnakan dengan baik oleh barisan depan skuad Rusa.

Pelawat dilihat cuba menyusun beberapa gerakan menarik sebaik aksi bersambung dalam usaha mendapatkan gol, bagaimanapun pertahanan tuan rumah bertindak pantas menghalang setiap percubaan pihak lawan.

Bagaimanapun hasil kesilapan ketua pasukan, Annas Rahmat yang tertampan bola dan mengelirukan penjaga gol, Saiful Amar Sudar, sebelum bola itu menerjah jaring untuk membantu T-Team meraih gol pertama pada minit ke-53.

Anak buah Rachmat Darmawan dilihat cuba memberikan tekanan kepada NS dengan melakukan asakan bertali arus dan usaha mereka berhasil apabila pemain gantian Mohd Fakhrurazi Musa menjaringkan gol kedua T-Team pada minit ke-74.

Pemain gantian Farderin Kadir bagaimanapun menceriakan lebih 3,000 penyokong NS apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-83.

Namun ia tidak bertahan lama apabila Dilshod Sharofetdinov menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-90 untuk masing-masing berpuas hati meraih satu mata.

Berita Harian X