Sabtu, 8 Julai 2017 | 5:15pm

Ditahan lagi selepas 3 hari didenda kes dadah


SEBAHAGIAN suspek penagih dadah yang ditahan dalam operasi cegah penagihan di Hutan Bakau Segantang Garam, pagi tadi. - Foto ihsan AADK

SUNGAI PETANI: Seorang penjawat awam yang baru tiga hari didenda RM2,000 atas kesalahan penyalahgunaan dadah oleh Mahkamah Majistret di sini, ditahan ketika dalam perjalanan ke sarang dadah di Hutan Bakau Segantang Garam, di sini, pagi tadi.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, Shamshuri Yussof, berkata perbuatan suspek dikesan ketika anggotanya melakukan operasi di kawasan itu jam 6 pagi.

"Suspek berusia 43 tahun itu sudah dua kali ditahan sebelum ini atas kesalahan berkaitan dadah.

"Suspek kini dibebas dengan jaminan sementara menunggu keputusan ujian air kencing," katanya di sini.

Terdahulu dalam operasi sama, seramai 14 orang penagih dadah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sebelum ke pejabat AADK untuk menjalani ujian kencing.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

215 dibaca
Berita Harian X