Sabtu, 8 Julai 2017 | 6:10pm

Remaja perempuan parah dibelasah perompak

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas parah dipercayai dibelasah perompak yang masuk rumah keluarganya di Kampung Masjid Bangi, dekat Kajang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Syazana Amirah Asshaari yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra retak tengkorak kepala, patah rahang selain patah empat gigi dan lebam pada pipi dan leher.

SYAZANA masih tidak sedarkan diri di ICU HKL akibat parah dipercayai dibelasah perompak yang masuk kediaman keluarganya di Kampung Masjid Bangi, Kajang. - Foto Facebook
SYAZANA masih tidak sedarkan diri di ICU HKL akibat parah dipercayai dibelasah perompak yang masuk kediaman keluarganya di Kampung Masjid Bangi, Kajang. - Foto Facebook

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan dan perompak dipercayai masuk melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata kejadian disedari ibu mangsa yang pulang kira-kira jam 11.15 pagi selepas menemui anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di katil di dalam bilik dengan kecederaan di kepala, dagu dan mulut.

"Pengadu (ibu mangsa) yang memeriksa rumah itu turut mendapati dua telefon bimbit dan dompet miliknya hilang.

"Dia kemudian menghubungi ambulans yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Kajang untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Othman berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati kemungkinan mangsa dipukul dengan objek tumpul dan tajam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengesan suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zazali Kenek di talian 019-7100662.

Berita Harian X