Sabtu, 8 Julai 2017 | 7:11pm

Penjenayah cedera dibelasah penduduk

WARGA asing yang cedera dibelasah penduduk ketika cuba memecah masuk rumah di Pandamaran Jaya. - Foto ihsan pembaca
WARGA asing yang cedera dibelasah penduduk ketika cuba memecah masuk rumah di Pandamaran Jaya. - Foto ihsan pembaca

KLANG: Nasib tidak menyebelahi seorang penjenayah warga Nepal pagi tadi apabila ditangkap dan dibelasah penduduk ketika cuma memecah masuk sebuah rumah di Pandamaran Jaya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, penghuni rumah berusia 33 tahun itu terjaga selepas mendengar bunyi bising di bahagian belakang rumahnya.

Katanya, mangsa kemudiannya bangun dan memeriksa kawasan rumah sebelum ternampak dua lelaki mahu memecah masuk rumahnya.

"Mangsa segera menghubungi jiran bagi meminta bantuan dan mereka dapat menahan seorang suspek manakala seorang lagi melarikan diri.

"Selepas dapat menahan seorang suspek, ada antara penduduk membelasahnya hingga cedera," katanya kepada BH.

Alzafny berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang ditahan adalah warga Nepal, berusia 26 tahun.

Katanya, polis juga merampas pisau berukuran 14 sentimeter yang dibawanya dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

Berita Harian X