Sabtu, 8 Julai 2017 | 10:25pm

1,850 bakal jemaah haji berkursus

JAMIL Khir (kiri) berucap merasmikan Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Khalid Al-Walid. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Seramai 1,850 bakal jemaah haji mengikuti Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan selama dua hari bermula hari ini.

Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) itu yang diadakan di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, bertujuan memberi gambaran awal buat bakal jemaah mengenai keadaan sebenar ibadah itu sebelum mereka ke Tanah Suci.

Pengarah TH Wilayah Persekutuan, Mohamad Abas, berkata sebanyak 17 lokasi di seluruh negara mengadakan Kursus Perdana bermula semalam dan berakhir 16 Julai ini.

"Seramai 2,300 orang dari Wilayah Persekutuan terpilih mengerjakan haji pada tahun ini.

"Peserta yang hadir pada hari ini sudah mendapat pengesahan untuk menunaikan haji dan Mereka ini dalam persiapan terakhir dan hanya menunggu jadual penerbangan.

"Kursus yang diadakan ini adalah latihan terakhir dianjurkan TH dalam usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal serta menjadi platform untuk memberi maklumat sebelum berangkat ke Makkah," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom merasmikan Kursus Perdana Haji. Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah.

Mohamad berkata, sekiranya jemaah mempunyai sebarang masalah selepas kursus itu, mereka boleh mendapat maklumat dan bantuan di mana-mana cawangan TH.

Berita Harian X