Ahad, 9 Julai 2017 | 1:10pm

Padam 1,500 akaun media sosial palsu


DATUK Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2017 di Kompleks Rakan Muda Daerah Bera hari ini.- Foto BERNAMA

BERA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memadam segera 1,500 akaun media sosial palsu, yang dikenal pasti sejak Januari hingga Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Keruak, berkata, kebanyakan akaun palsu Facebook, Twitter dan Instagram itu digunakan bagi pelbagai tujuan negatif, termasuk penyebaran berita palsu serta melakukan serangan politik.

Beliau berkata, tindakan akan diambil segera bagi memadamkan akaun berkenaan dengan kerjasama pihak Facebook, Twitter dan Instagram.

"Dari Januari sehingga Jun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima aduan awam hampir 1,500 akaun palsu di dalam media sosial, yang digunakan untuk pelbagai tujuan negatif, termasuklah untuk penyebaran berita dan kandungan palsu.

"Selain membuat pemadaman, siasatan lanjut juga akan dilakukan bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang, termasuk pendakwaan,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bera, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bera, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

22 dibaca
Berita Harian X