Ahad, 9 Julai 2017 | 3:37pm
Penerima biasiswa Menteri Besar Johor menunjukkan biasiswa yang diterima ketika Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Kolej YPJ, Bandar Akademi YPJ, Jalan Kulai-Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

15 pelajar terima Biasiswa MB Johor


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama kakitangan YPJ ketika Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di Kolej YPJ, Bandar Akademi YPJ, Jalan Kulai- Kota Tinggi. - Foto NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Seramai 15 pelajar terpilih menerima Biasiswa Menteri Besar Johor daripada Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor Sdn Bhd (KPYPJ) bagi menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia adalah tahun kedua KPYPJ menyalurkan biasiswa kepada pelajar terpilih yang bermula sejak tahun lalu dengan seramai tujuh penerima.

Katanya, tahun ini menyaksikan peningkatan seramai 15 pelajar dan usaha yang dilaksanakan KPYPJ itu juga selari dengan syarat yang diletakkan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Biasiswa ini membolehkan pelajar yang menerimanya ditanggung segala perbelanjaan pengajian daripada bermula mereka memulakan pengajian sehingga tamat.

"Kita akan terus mantapkan KPYPJ sama ada terus galakkan kerjasama dengan institusi lain dan akan lihat kepada segala ruang untuk meningkat dan memantapkan lagi penyediaan tawaran pengajian di sini," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Kolej YPJ, Bandar Akademi YPJ, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Pengurus Besar YPJ, Ab Wahad Ridwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor Sdn Bhd (KPYPJ) , Rashid A Rahman.

Penerima biasiswa, Siti Najiha Jamjati, 18, berkata, beliau bersyukur dan gembira terpilih menerima Biasiswa Menteri Besar daripada KPYPJ dan berharap dengan bantuan itu dapat memudahkannya melanjutkan pengajian.

"Saya anak kedua daripada tiga adik beradik dan rasa bersyukur serta gembira menerima bantuan ini. Harap dengan bantuan ini saya dapat meneruskan cita-cita saya menjadi guru," katanya yang kini sudah melanjutkan pengajian dalam jurusan Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, penuntut Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan) UTM, Nur Izati Aziz, 18, berkata biasiswa yang diterima itu sememangnya dapat membantu meringankan bebanan keluarga membiayai yuran pengajiannya.

"Ayah saya bekerja sebagai polis bantuan di Bekok, Segamat dan saya anak kedua daripada lima beradik, jadi sedikit sebanyak ia dapat meringankan bebanan ayah membiayai segala perbelanjaan pengajian saya," katanya.

77 dibaca
Berita Harian X