Ahad, 9 Julai 2017 | 8:01pm

KJA teruskan misi mencari Ramli


Empat pendaki daripada Kelab Jelajah Alpine (KJA) berlepas ke Tehran, Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA) bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat Ramli Abdul Majid, 44 yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand pada November tahun lalu. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Empat pendaki dari Kelab Jelajah Alpine (KJA) meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) rakan mereka, Ramli Abdul Majid, 44, yang hilang di Gunung Damavand, Iran, sejak November tahun lalu.

Ketua Ekspedisi, Mohd Khafiz Bachok, 39, berkata misi SAR itu diteruskan kerana Tehran ketika ini memasuki musim panas manakala salji yang meliputi gunung berkenaan mula mencair.

Katanya, ia secara tidak langsung memudahkan kerja menjejaki Ramli di pergunungan berkenaan.

"Misi ini dijangka diadakan selama 10 hari. Kami turut mendapat kerjasama dari Pasukan Bulan Sabit Merah Tehran untuk misi berkenaan serta memohon bantuan kerajaan Iran bagi mempergiatkan usaha SAR.

"Fokus kawasan carian ialah di kawasan timur Gunung Damavand bermula dari ketinggian 4,100 meter dari aras laut hingga 5,300 meter dari aras laut serta kawasan perkampungan berdekatan.

"Diharapkan SAR ini dapat memberi sedikit gambaran mengenai kehilangan yang sudah masuk lapan bulan ini," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Tehran, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) di sini, hari ini.

Selain Mohd Khafiz, tiga lagi pendaki KJA ialah Muhammad Illaham Ishak, 40; Azwawi Ismail, 38; dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Mohd Khafiz berkata pihaknya juga akan mendapatkan bantuan daripada kedutaan Malaysia di Tehran untuk berurusan dengan kerajaan di sana bagi mendapatkan surat rasmi berkaitan status Ramli.

Ini adalah misi kali ketiga yang diadakan bagi mencari Ramli. Kali terakhir SAR diadakan adalah pada 25 Disember tahun lalu, namun Ramli gagal ditemui kerana cuaca buruk menyukarkan operasi mencari mangsa.

Dalam kejadian pada 20 November tahun lalu, Ramli bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang ketika berada pada ketinggian 4,200 meter gunung berapi itu.

Bagaimanapun, Syed Redzuan ditemui maut di Yakhar Glacier, enam hari selepas dilaporkan hilang manakala Ramli masih gagal dikesan sehingga kini.

Berita Harian X