Ahad, 9 Julai 2017 | 11:09pm

APMM tahan bot nelayan asing cuba rasuah

CHUKAI: Cubaan seorang tekong bot warga asing cuba merasuah anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) gagal selepas mereka ditahan ketika menangkap ikan di 62 batu nautika dari pantai Kuala Kemaman, lewat tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata pihaknya yang sedang melakukan operasi Pagar Timur di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) terserempak dengan sebuah bot yang sedang menangkap ikan, pada kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati ada seorang tekong dan 20 awak-awak berusia antara 21 hingga 46 tahun di atas bot terbabit.

"Semua mereka dipercayai warga Vietnam tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

"Tekong bot terbabit cuba memberi rasuah sebanyak RM1,000 kepada anggota APMM dengan harapan dia dan awak-awaknya dibebaskan. Anggota terbabit menolak permohonan itu, sebaliknya bertindak menahan semua nelayan terbabit," katanya.

Beliau berkata, selain menceroboh perairan negara, nelayan terbabit juga didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap spesis ikan yu yang dilindungi.

Katanya, semua hasil rampasan iaitu ikan campur seberat 4,000 kilogram, sotong kering (400kg) dan ikan baja (3,000kg) dengan bot serta peralatan dianggarkan bernilai sekitar RM1.5 juta.

"APMM akan terus melakukan operasi bagi memastikan perairan negara tidak dicerobohi bot nelayan asing serta bot tempatan yang melakukan kesalahan. 

"Saya memuji nilai integriti dalam kalangan anggota maritim yang sentiasa berada di tahap yang amat dibanggakan," katanya.

Berita Harian X