Isnin, 10 Julai 2017 | 1:35pm

Advancecon sasar pertumbuhan dua digit


KETUA Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif Advancecon Holdings Bhd, Yeo An Thai.- Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Advancecon Holdings Bhd (Advancecon), pakar perkhidmatan kejuruteraan awam dan kerja tanah, menyasarkan pertumbuhan dua angka dari RM234 juta yang direkodkan pada 2016 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif, Yeo An Thai, berkata pihaknya optimis untuk terus mengekalkan pertumbuhan syarikat yang mapan dipacu oleh nilai perolehan kontrak kumpulan serta penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada kerja tanah dan kejuruteraan awam di mana akan terus menyumbang 50 hingga 60 peratus kepada pendapatan.

"Syarikat juga sedang membida kontrak bagi perkhidmatan penyediaan kerja tanah dan kejuruteraan awam untuk projek berskala besar, iaitu East Coast Rail Line.

"Kami yakin, dengan pemerolehan kontrak itu dan prospek sektor pembinaan yang positif di negara ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat pada masa depan," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

Yeo berkata, Advancecon kini menguasai 22.3 peratus penguasaan pasaran.

Advancecon memperuntukkan RM29.7 juta sebagai perbelanjaan modal syarikat (Capex) dengan membeli kelengkapan dan jentera pembinaan baharu (RM15.1 juta), pembinaan bengkel penyelenggaraan dalaman, pengubahsuaian dan pembaikan jentera kumpulan (RM14.6 juta).

Sebanyak RM10.7 juta untuk modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank (RM12.5 juta) dan perbelanjaan penyenaraian (RM3.8 juta).

Advancecon memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM0.74 dengan premium sebanyak 11 sen, melebihi harga IPO pada RM0.63 dengan 11.773 juta saham diniagakan.

Yeo berkata, pihaknya gembira dengan premium sekitar 17.46 peratus di atas harga terbitan 63 sen sesaham itu yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap syarikat.

Berikutan penyenaraian itu, Yeo berkata syarikat akan terus terbabit secara agresif dalam tender, di seluruh negara.

"Buku tender kami akan melebihi RM1.5 bilion dan kami mempunyai kadar yang berjaya sekitar 10 peratus," katanya.

60 dibaca
Berita Harian X