Rabu, 27 Ogos 2014 | 11:39pm

Lima kali terlepas perangkap komunis

KUALA LUMPUR: Kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) membunuh rakyat tempatan demi rancangan mewujudkan negara komunis menyebabkan negara terpaksa melalui zaman darurat yang panjang iaitu antara tahun 1948 hingga 1960.

Ini paling ketara apabila mereka bermaharajalela secara terbuka dalam tempoh negara tanpa pentadbiran iaitu selepas Jepun menarik diri dan sebelum British menyusun semula pentadbiran negara pada 12 September, 1945.

Dalam tempoh kurang tiga minggu itu, PKM telah keluar dari hutan, menawan balai polis dan bertindak kejam membunuh orang tempatan terutama kaum Melayu yang dianggap membantu Jepun.

Veteran Clifford Gerald Standley, 88, yang pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera British ketika Perang Dunia Kedua (WWII) mempunyai pengalaman tersendiri berhadapan dengan kumpulan pengganas itu.

Sebagai askar British, Standley pernah berkhidmat di India, Pakistan, Myanmar sebelum menamatkan khidmat ketenteraan pada 1948 menentang Jepun di Tanah Melayu, dan menyertai pasukan polis negara di Singapura pada tahun yang sama.

"Saya tidak ingat berapa ramai rakyat tempatan yang terkorban, tetapi yang pastinya sangat ramai," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan waktu itu sangat buruk untuk rakyat mencari sesuap nasi untuk keluarga dan mereka hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu komunis menyebabkan mereka tidak berani keluar bekerja meskipun untuk bercucuk tanam, sekali gus menjejaskan bekalan makanan dan sektor pertanian hingga melembapkan pertumbuhan semula ekonomi.

Komunis bermaharajalela

Dalam komuniti militan komunis di bawah Chin Peng, terdapat kumpulan khas anti-Eropah yang berperanan mencari, memburu dan membunuh pegawai berbangsa Eropah.

Malangnya, dalam tempoh beberapa tahun pertama komunis bermaharajalela, lebih 100 peladang Eropah dalam kalangan rakan-rakan Standley sendiri telah dibunuh.

Pertempuran berterusan antara pasukan keselamatan negara dengan komunis terus memuncak dengan pembunuhan beberapa pegawai penting pentadbiran British hingga memaksa perisytiharan Darurat Tanah Melayu 1948.

Standley menerima jawatan sebagai Pengurus Ladang Getah Anglo-Johore di Bekok, berdekatan dengan Labis, pada tahun 1950 selepas peristiwa Tragedi Natrah.

Meskipun telah meninggalkan pasukan polis, beliau tetap membantu rakan-rakannya dalam operasi memburu komunis di dalam hutan yang meliputi seluruh semenanjung dalam usaha pihak pentadbir British melindungi rakyat jelata yang rata-rata tinggal di kampung yang terletak di pinggir hutan.

"Saya pernah hidup pada zaman kerakusan Chin Peng yang mahu berkuasa tetapi menggunakan cara yang kejam.

"Chin Peng melihat British sebagai batu penghalang, jadi dia mengambil kesempatan menggunakan strategi British yang mahu perbaiki ekonomi melalui pembukaan ladang, untuk melakukan operasi besar-besaran membunuh pekerja tempatan terutama pengurus-pengurus ladang berbangsa Eropah," kata Standley yang berasal dari Yorkshire, Britain.

"Setiap kali kami membuat perjalanan jauh atau dekat, misalnya ke Singapura untuk beberapa hari, pemberontak pasti sudah menunggu mahu menyerang di laluan jalan balik.

"Jadi kami perlu sentiasa mengenalpasti laluan-laluan alternatif," jelasnya mengingatkan penulis bahawa jalan raya pada waktu itu adalah jalan tanah merah yang dikelilingi belukar dan hutan.

Serang pekerja

Katanya, komunis yang bergerak dalam kumpulan militan kecil dikenali sebagai 'Bintang Tiga' atau 'Reds', amat mahir dengan selok belok hutan tebal yang meliputi sepanjang Semenanjung Malaysia dari Singapura, Johor hinggalah selatan Thailand.

"Bayangkan berapa luas lokasi persembunyian komunis yang menunggu peluang menyerang pekerja ladang dan lombong Eropah yang amat mereka benci." katanya.

Terletak di selatan tanah air, ladang yang dijaganya adalah antara lokasi serang hendap pemberontak paling 'panas'.

"Mereka sering menjadikan lori, kereta dan kenderaan lain yang keluar masuk sebagai sasaran mudah untuk membunuh peladang Eropah," imbasnya.

Standley teringat pengalaman beliau pada tahun 1950 apabila sengaja keluar mengayuh basikal seawal jam 5 pagi melewati kawasan perintah berkurung semata-mata mahu melancong ke Melaka.

"Rakan-rakan dalam pasukan polis membantah pengembaraan saya itu, tetapi syukurlah saya selamat pergi dan kembali ke ladang," katanya.

Serangan malam

Selaku pengurus ladang, Standley sering bimbangkan keselamatan para pekerja yang terpaksa berhadapan dengan serang hendap dan rompakan dari hutan sehingga menyebabkan terlalu banyak kematian dan kecederaan.

"Kami boleh mendengar bunyi tembakan hampir setiap malam apabila mereka datang dan menembak sesiapa sahaja termasuk menyerang polis yang berkawal di pos keselamatan," katanya.

Beliau sendiri beberapa kali terlepas daripada serangan gerila komunis dalam percubaan mereka membunuh peladang Eropah sehingga menyebabkan beliau dikenali dan menjadi sasaran khas dendam komunis.

Kisah Standley pernah terselamat daripada lima cubaan bunuh antara tahun 1951 dan 1955, pernah terpampang di muka depan akhbar The Straits Times pada 1955.

Mengimbas semula lima kejadian itu, Standley berkata serangan pertama berlaku pada usia 25 tahun yang menyebabkan beliau terlantar di hospital selama empat bulan dengan kecederaan pinggul.

"Tetapi umur saya masih panjang, dan berjaya pula terlepas dengan selamat ketika serangan kedua dan ketiga yang juga berlaku berhampiran kawasan ladang," katanya.

Ragut nyawa

Namun cubaan membunuh beliau pada serangan hendap seterusnya benar-benar melekat dalam ingatan beliau.

Standley ketika itu memandu untuk melawat Ladang Getah Kempas yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Bekok, tetapi sebelum beliau memandu keluar dari banglo pejabat ladang itu, seorang pekerja ladang telah menghalangnya.

"Rupa-rupanya, sekumpulan pengganas telah menumbangkan pokok di laluan keluar ladang dan sedang bersembunyi menunggu kemunculan kenderaan Land Rover saya," katanya.

Mereka akhirnya diserang oleh polis.

Tetapi komunis tidak berputus asa, hanya 14 hari kemudian mereka menggunakan modus operandi yang hampir serupa untuk serang hendap seterusnya.

Mengingati peristiwa pada tanggal 21 Oktober, 1955 yang menyebabkan beliau cedera parah dan meragut nyawa pekerja setia beliau, Special Constable (SC) Abu Somaa, raut wajahnya berubah.

Seawal subuh mereka berdua keluar untuk membawa anak pekerja ke sekolah yang terletak di Pekan Baru Bekok kira-kira tiga kilometer dari ladang.

"Dalam perjalanan pergi, ada beberapa orang lelaki berpakaian orang kampung yang memerhati dari tepi ban jalan kampung," katanya.

Apabila mereka kembali semula ke kawasan berbukit itu, laluan itu disekat.

Abu yang memandu Land Rover cuba menyimpangkan kenderaan tetapi terbabas berikutan tembakan bertalu-talu komunis.

"Mereka sangat kejam terhadap Abu yang tidak bersenjata dan tidak mampu melawan. Abu cedera parah dan terjatuh dari kereta, tetapi pengganas tetap menembak kepalanya," keluh beliau dengan perasaan geram.

Cedera parah

Sementara itu, Standley yang terkena beberapa tembakan yang menembusi peha kirinya serta cedera di rusuk terus berusaha untuk berlari ke kawasan yang lebih selamat.

Dengan berlumuran darah, beliau berjaya masuk kembali ke kawasan ladang yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Tentera British di Kluang yang berada sejauh 65 kilometer, sekali gus terpaksa menyambut ulang tahun kelahirannya di dalam hospital.

Berikutan peristiwa itu, jelaslah kepada pentadbir British bahawa dendam komunis terhadap Standley akan membahayakan ladang berkenaan.

Maka mereka memutuskan supaya pengurus ladang Bekok ditukar dan Standley perlu kembali ke Britain untuk rawatan kecederaan yang dialami.

Bagaimanapun, Standley tidak lagi betah untuk menetap di Britain.

Rindunya terhadap Malaysia terutama kemesraan penduduk, keindahan alam, cuaca dan kepelbagaian budaya menyebabkan beliau kembali semula pada 1956, mendapatkan kerja dengan syarikat komersial, menjadi warga negara dan akhirnya berkeluarga di sini.

Tidak layak

Standley bersimpati apabila abu mayat Chin Peng diharamkan daripada kembali ke Malaysia, tetapi beliau menegaskan bahawa ketua komunis itu sama sekali tidak layak untuk pulang ke tanah air kerana kemusnahan yang dibawanya terlalu besar.

"Memang benar pendudukan Jepun telah menjunamkan ekonomi negara sehingga menjadi sangat teruk, tetapi komunislah yang benar-benar menghuru-harakan negara," katanya.

Standley menegaskan bahawa zaman darurat ekoran keganasan komunis adalah era yang paling buruk selama hidup beliau di Malaysia. Tetapi sayangnya ia satu realiti yang kurang difahami oleh masyarakat Malaysia kini.

- BERNAMA

Berita Harian X