Isnin, 10 Julai 2017 | 8:25pm

Hari Penduduk Sedunia 2017 disambut esok


MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Perancangan Keluarga: Memperkasa Rakyat, Membangunkan Negara dipilih sebagai tema sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut esok.

Perancangan keluarga dipilih tema bagi sambutan tahun ini kerana ia penting kepada kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, sambutan Hari Penduduk Sedunia mula diadakan sejak 1989.

"Tema perancangan keluarga dipilih kerana ia dianggap penting dan menjadi faktor utama dalam mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga.

   

"Akses kepada kesihatan reproduktif termasuk perancangan keluarga adalah sasaran utama agenda baru untuk Matlamat Pembangunan Lestari bagi tempoh 2015 hingga 2030," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rohani berkata, bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia tahun ini, KPWKM melalui LPPKN menjalinkan kerjasama secara strategi lautan biru dengan agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, swasta, badan bukan kerajaan, universiti, persatuan penduduk dan keluarga untuk menjayakan Program yang dinamakan EKOFAMILI 2017.

Program ini dilaksanakan bertujuan memupuk amalan dan nilai positif dalam menjaga alam sekitar dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti yang akan dilaksanakan sepanjang Julai membabitkan 14 buah komuniti terpilih.

89 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »