Isnin, 10 Julai 2017 | 11:29pm

KL singkir NS di puncak Liga Perdana

PEMAIN Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck (kanan) diasak pemain Kuala Lumpur, Na'im Nazmi pada perlawanan Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Osman Adnan

SELAYANG: Kuala Lumpur (KL) membenam Negeri Sembilan (NS) 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini, sebentar tadi, sekali gus mengambil alih mahkota pendahulu saingan Liga Perdana.

Pasukan ibu kota unggul di puncak liga dengan kelebihan jaringan. Malah lebih manis buat skuad warga kota apabila turut meleburkan rekod tanpa kalah anak buah Mohd Asri Ninggal.

Selepas mengharungi 15 perlawanan, kedua-dua pasukan terikat dengan 32 mata.

Terdahulu, tuan rumah dilihat lebih teratur dalam menggerakkan serangan ketika ancaman NS mudah dipatahkan pertahanan lawan

Hasilnya pada minit ke-10, ayam tambatan Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio tenang menanduk masuk gol pendahuluan selepas menerima hantaran Nicolas Alenjandro.

KL terus garang mengatur serangan manakala percubaan terbaik NS hanya hadir pada minit ke-40, namun rembatan deras Shahrul Igwan Samsudin sempat ditepis penjaga gol Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Bersambung babak kedua, situasi sama terus menghimpit NS apabila banyak gerakan diatur menemui jalan buntu dan hanya peluang skuad Hobin Jang Hobin diperoleh pada minit ke-73 tetapi Kamarul Effandi cemerlang menafikan tandukan Bruno Junichi Suzuki.

Paulo Josue Sturmes Dos Reis tampil melenyapkan sisa perjuangan NS apabila meledak dua gol dalam tempoh tiga minit, bermula minit ke-77, diikuti minit ke-80

NS cuba bangkit dengan dua gol lewat menerusi Bruno pada minit ke-83 dan pemain gantian, Farderin Kadir, pada minit ke-90 tetapi hampa melihat Kuala Lumpur lebih berhak meraih tiga mata.

Berita Harian X