Selasa, 11 Julai 2017 | 11:57am

Iran aktifkan semula misi cari Ramli

MESYUARAT koordinasi membabitkan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Kedutaan Malaysia di Iran dan Kelab Jelajah Alpine (KJA) yang diadakan di pejabat IRCS.

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat koordinasi membabitkan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Kedutaan Malaysia di Iran dan Kelab Jelajah Alpine (KJA), diadakan di pejabat IRCS.

Mesyuarat itu diadakan apabila gerakan mencari pendaki Malaysia, Ramli Abdul Majid yang hilang di Iran sejak November tahun lalu, diaktifkan sejak seminggu lalu.

Ketua Operasi Kecemasan IRCS, Hossein Derakhsan, berkata operasi mencari di Gunung Damavand sebelum ini terpaksa diberhentikan berikutan cuaca ekstrim.

"Operasi kini tertumpu di bahagian timur gunung, iaitu kawasan Yakhar Glacier di mana mayat seorang lagi pendaki Syed Redzuan Syed Salim Shatri, ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang bersama Ramli," katanya.

Hossein Derakhsan, berkata pihaknya percaya ada beberapa kemungkinan mangsa jatuh di kawasan sama.

"Bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang petunjuk tambahan kerana musim panas baru bermula dan salji baru mula mencair.

"Oleh itu, gerakan mencari akan diperhebat Ogos ini kerana dijangkakan ketika itu salji mulai hilang di kebanyakan kawasan gunung itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Misi KJA, Mohd Khafiz Bachok, berkata pihaknya akan membuat tinjauan di gunung itu mulai hari ini sebagai inisiatif sendiri dalam usaha menjejaki Ramli.

"Kami sudah memaklumkan tinjauan ini kepada IRCS dan beberapa langkah keselamatan yang perlu sudah diambil," katanya.

Pada 20 November tahun lalu, Ramli, 45, bersama Syed Redzuan, 50, dilaporkan hilang selepas gagal kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter.

Mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier, Gunung Damavand pada 28 November lalu, tetapi nasib Ramli tidak diketahui hingga kini.

Berita Harian X