Selasa, 11 Julai 2017 | 12:14pm

Jangan polemik pelantikan hakim tambahan - Azalina

DATUK Seri Azalina Othman Said ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu berhenti polemikkan isu pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelantikan itu dilakukan berdasarkan fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu pelantikan hakim tambahan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong selepas berkenan menerima cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada 30 Mac lalu.

Katanya, ia juga bukan perkara baharu kerana pada 2016, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa dilantik memegang jawatan sama.

"Pada 1965 pula, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri S Chelvasingam MacIntyre pernah dilantik semula sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.

"Perlembagaan Persekutuan juga tidak menghalang untuk mana-mana hakim tambahan yang dilantik untuk terus menyandang sesuatu jawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berpendapat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh Md Raus dan Zulkefli Ahmad amat diperlukan oleh Badan Kehakiman Negara.

"Saya berharap pihak berkenaan memberi peluang kepada mereka untuk terus memartabatkan Badan Kehakiman Negara.

"Bagaimanapun, mana-mana pihak yang berpendapat pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa perkara itu ke mahkamah mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Md Raus dilantik ke jawatan itu untuk tempoh tiga tahun mulai 4 Ogos ini dan akan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara mulai tarikh dan tempoh sama.

Zulkefli Ahmad pula akan menggalas jawatan berkenaan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, selain meneruskan jawatan sedia ada bagi tempoh sama.

 

Berita Harian X