Selasa, 11 Julai 2017 | 7:08pm

IRCS aktifkan SAR Ramli hingga Ogos

MUHAMMAD Illaham Ishak, Mohd Khafiz Bachok, Azmawi Ismail dan Mohd Azraie Md Yusof berlepas ke Tehran, Iran bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) Ramli Abdul Majid. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) Ramli Abdul Majid, pendaki rakyat tempatan yang dilapor hilang di Gunung Damavand sejak November tahun lalu, diaktifkan semula bermula awal bulan ini sehingga penghujung Ogos depan.

Kata putus berkenaan diumumkan Ketua Pusat Operasi Kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Hossein Derakhsan dalam satu mesyuarat bersama Kedutaan Malaysia di Tehran dan Kelab Jelajah Alpine (KJA) dari Malaysia, kelmarin.

Dalam satu kenyataan semalam, KJA berkata mesyuarat koordinasi mencari dan menyelamat itu diadakan di pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah di Tehran.

Katanya, ia dihadiri Duta Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya, wakil KJA Mohd Khafiz Bachok, 39; Muhammad Illaham Ishak, 40; Azmawi Ismail, 39; dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Sementara itu, Hossein dilaporkan berkata operasi SAR di Gunung Damavand sebelum ini terpaksa dihentikan berikutan cuaca ekstrem dan salji tebal yang menyukarkan usaha pencarian.

"Operasi yang digerakkan baru-baru ini tertumpu di bahagian timur gunung iaitu di kawasan Yakhar Glacier, lokasi seorang lagi pendaki, Allahyarham Syed Redzuan Syed Salim Shatri ditemukan selepas enam hari dilaporkan hilang bersama Ramli.

"Kemungkinan besar Ramli jatuh di tempat sama. IRCS akan meneruskan operasi SAR sehingga penghujung Ogos kerana salji dijangka mula mencair di kebanyakan kawasan gunung itu," katanya.

Rustam berkata pihaknya masih menunggu keputusan operasi SAR selesai sebelum mengambil langkah berikutnya, termasuk bertemu dengan Kementerian Luar Iran bagi mendapatkan prosedur pengesahan status Ramli.

Katanya, beliau memahami situasi dihadapi keluarga mangsa dan pada masa sama perlu memberi ruang kepada IRCS meneruskan misi pencarian.

Selain itu, Ketua Misi SAR KJA, Mohd Khafiz berkata pihaknya akan membuat tinjauan di kawasan pergunungan hari ini dalam usaha menjejak Ramli.

"IRCS sudah maklum mengenai misi ini, termasuk langkah keselamatan yang perlu diambil," katanya.

Ramli adalah rakyat tempatan yang dilapor hilang di Gunung Damavand, berketinggian 5,610 meter di tengah pergunungan Alborz, kira-kira 75 kilometer (km) dari Tehran pada 22 November 2016.

Ketua Jurutera Sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings, Shah Alam itu dilaporkan hilang bersama seorang lagi pendaki, Syed Redzuan pada hari yang sama.

Pada 28 November, Syed Redzuan ditemui di kawasan Yakhar Glacier dan mayatnya kemudian dibawa pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, nasib Ramli masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Berita Harian X