Selasa, 11 Julai 2017 | 9:27pm

Kedai pajak kenderaan dakwa diceroboh

KAJANG: Satu laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan sebuah syarikat pajak kereta di Lot 1926A Sungai Sikamat, Batu 13 di sini, susulan kekecohan yang tercetus apabila lebih 500 pemilik kereta menuntut semula kenderaan masing-masing yang dipajak, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata laporan oleh pengurus eksekutif syarikat terbabit dibuat selepas kumpulan pemilik kereta bersama aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) didakwa memecahkan mangga kunci pada pagar dan menceroboh masuk stor syarikat berkenaan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, pengadu dimaklumkan oleh seorang daripada pekerja terdapat sekumpulan individu dipercayai pemilik kenderaan yang dipajak syarikat terbabit datang untuk mengambil kenderaan mereka yang berada di dalam stor. 

"Mereka (pemilik kereta dan aktivis PPIM) juga didakwa memasuki kawasan stor tanpa menunjukkan apa-apa notis dari pihak mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan pemilik kereta bersama aktivis PPIM itu memang merosakkan kunci mangga pada pagar dan menceroboh masuk stor berkenaan.

"Mereka juga mengeluarkan sebanyak 40 kenderaan dari stor berkenaan tanpa menunjukkan sebarang dokumen kepada pemilik syarikat. 

"Siasatan mendapati syarikat itu menjalankan perniagaan memajak dan menyewakan kenderaan di mana pemilik kenderaan ada membuat perjanjian bertulis dengan syarikat terbabit," katanya lagi.

Menurut Othman, walaupun berlaku sedikit ketegangan, tiada sebarang insiden buruk berlaku dalam kejadian itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 447 kerana menceroboh dan 427 Kanun keseksaan kerana melakukan khianat," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya satu siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang ke atas syarikat pajak kereta terbabit, susulan 23 laporan polis yang diterima daripada pemilik kenderaan yang dipajak.

"Pihak polis membuka Kertas Inkuiri Polis (KEP) ke atas syarikat terbabit susulan 23 laporan polis yang dibuat oleh pemilik kenderaan yang mendakwa mereka tertipu.

"Buat masa ini, belum ada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat berkaitan kes ini," kata Othman lagi.

BH sebelum ini menyiarkan keluhan kira-kira 500 pemilik kereta yang berhasrat mencari pendapatan tambahan dengan memajak kenderaan untuk disewakan, mendakwa ditipu syarikat pajakan itu.

Bagaimanapun, pemilik kereta berkenaan berjaya mendapatkan semula kenderaan mereka hasil perbincangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama pemilik syarikat AGR Group.

 

Berita Harian X