Selasa, 11 Julai 2017 | 10:22pm

KDN batal tayangan filem gay di Pulau Pinang


PENGERUSI Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin (tiga dari kanan) meninjau Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (PENANGPAC) berikutan Penangpac bakal mengadakan tayangan percuma sebuah filem gay dari Vietnam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, mengeluarkan arahan melarang penayangan filem berunsur gay, Lost In Paradise di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (Penangpac) di sini.

Penolong Pegawai Penguatkuasa KDN Pulau Pinang, Muhd Khairuddin Yusof, berkata arahan itu dikeluarkan kira-kira jam 3 petang tadi selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai.

"Kami sudah mengeluarkan arahan untuk melarang filem berkenaan daripada ditayangkan kepada umum. Bagaimanapun, difahamkan pihak penganjur bertindak menukar judul filem lebih awal.

"Namun, judul baharu itu West Side Story juga tidak mendapat kelulusan KDN untuk ditayangkan. Jadi kita menasihat Penangpac supaya mengikut prosedur KDN sebelum menayangkan sebarang filem," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Penangpac di sini, malam tadi.

Tinjauan BH mendapati Penangpac membatalkan semua tayangan filem malam ini dan menutup operasi mereka lebih awal berbanding yang dijadualkan.

Semalam, Penangpac dikecam di media sosial kerana mempromosikan tayangan filem berunsur gay, Lost In Paradise yang dijadual ditayangkan di Straits Quay pada jam 8 malam ini.

Filem yang diberi jolokan nama 'filem gay pertama di Vietnam' oleh Agence France-Presse itu pernah menjadi tayangan pembuka di Festival Lesbian dan Gay di Hong Kong pada 2010.

62 dibaca
Berita Harian X