Selasa, 11 Julai 2017 | 11:27pm

JDT kukuh cengkaman di persada

PEMAIN Johor DT, Gonzalo Gabriel Cabrera (kanan) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan golnya pada saingan Liga Super 2017, menentang Pahang, di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila menewaskan Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Satu gol pada setiap babak meletakkan skuad Harimau Selatan di landasan tepat untuk mempertahankan trofi berprestij itu musim ini, sekali gus memenanginya buat kali keempat berturut-turut.

Kekalahan pula menyaksikan anak buah Dollah Salleh terus kemarau kemenangan dalam empat perlawanan, termasuk dua aksi dalam kempen Piala Malaysia sejak awal bulan ini.

Malah gawang skuad Tok Gajah dirobek seawal minit pertama lagi apabila penyerang import Harimau Selatan, Gabriel Cabrera mudah menolak masuk lorongan Mohammed Ghaddar.

Tersentak dengan jaringan itu, Pahang bangkit mencari gol penyamaan namun dua peluang terbaik menerusi Mohamadou Sumareh dan Ahmad Syamim Yahya ditepis penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-26 dan 27.

Matheus Alves berjaya menggegar gawang JDT pada minit ke-62 tetapi jaringannya tidak dikira kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Ignacio Insa kemudian menamatkan sisa-sisa harapan tuan rumah untuk bangkit apabila menyumbat gol kedua, lima minit sebelum tamat perlawanan.

Berita Harian X