Rabu, 12 Julai 2017 | 5:10pm

Bekas kontraktor didakwa kemuka tuntutan palsu


MOHAMMAD Trevor Mohammad Darby dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM246,500 kepada Muzium Perak di Taiping, empat tahun lalu. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Seorang bekas kontraktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM246,500 kepada Muzium Perak di Taiping, empat tahun lalu.

Mohammad Trevor Mohammad Darby, 35 dituduh melakukan kesalahan itu membabitkan kerja menaiktaraf sistem audio visual pameran di muzium berkenaan.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim S Indra Nehru manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohammad Trevor didakwa dengan niat memperdayakan Kurator Muzium, Nor Hanisah Ahmad menerusi satu dokumen iaitu pesanan kerajaan berserta invois berjumlah RM246,500 membabitkan kerja-kerja menaiktaraf sistem audio visual pameran di Muzium Perak.

Bagaimanapun, tertuduh memberikan butiran palsu dengan memperakui pembekalan sepenuhnya dibuat dalam keadaan memuaskan dan mengikut penentuan sedangkan kerja tidak disiapkan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat muzium berkenaan pada 24 Disember 2013.

Mohammad Trevor didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Indra kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Berita Harian X