Rabu, 12 Julai 2017 | 7:38pm
MAJLIS Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana anjuran Masjid Kariah Bangi yang dianjurkan khas untuk Syazana Amirah, selepas solat Maghrib, esok.
MAJLIS Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana anjuran Masjid Kariah Bangi yang dianjurkan khas untuk Syazana Amirah, selepas solat Maghrib, esok.

"Kakak janji belikan Nana iPhone"

NURATIKAH (kana) bersama Siti Rafiah di ruang menunggu wad ICU HKL. - Foto Nor Azizah Mokhtar
NURATIKAH (kana) bersama Siti Rafiah di ruang menunggu wad ICU HKL. - Foto Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: "Nana cepatlah sembuh, kakak janji akan belikan iPhone yang Nana nak sangat tu."

Itu kata-kata semangat diberikan Nuratikah Asshaari kepada adiknya, Syazana Amirah, 14, atau nama manjanya Nana yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas parah dibelasah penyamun yang menceroboh rumah mereka di Kampung Masjid, Bangi, Jumaat lalu.

"Sebelum kejadian itu, dia sering beritahu kami yang impiannya adalah untuk memiliki sebuah telefon bimbit jenis iPhone, tidak kisah model apa tapi dia mahu iPhone berwarna hitam atau perak.

"Malah dia juga ada berikan separuh duit raya yang diterimanya berjumlah RM100 kepada saya sebagai wang tambahan apabila saya belikan iPhone untuknya kelak," katanya ketika ditemui di HKL, sebentar tadi.

Nuratikah yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat binaan di Bangi, terpaksa mengambil cuti untuk menemani ibunya, Siti Rafiah Mansor, 48, yang kini sepanjang masa berada di HKL untuk menjaga Syazana Amirah.

Mereka berdua serta ahli keluarga lain bergilir-gilir bermalam di ruang menunggu HKL yang disediakan pihak hospital sejak Syazana Amirah dipindahkan dari Hospital Kajang, awal pagi Sabtu lalu.

Katanya, selepas Syazana Amirah selamat menjalani pembedahan lebih tujuh jam untuk mengeluarkan darah beku di kepalanya, Ahad lalu, adiknya mula sedar dengan membuka mata dan menggerakkan jari dan tangannya.

"Kadang-kadang dia memberi respons apabila kami berkomunikasi dengannya, ada kala dia hanya membuka mata tanpa apa-apa reaksi... tapi dia tidak boleh bercakap kerana doktor masih memasang tiub pada mulutnya.

"Kami sekeluarga berusaha untuk menceriakan Nana dengan kata-kata semangat setiap kali diberi peluang melawatnya, walaupun masa yang diberi hanya dua jam di sebelah tengahari dan dua jam di sebelah petang," kata Nuratikah.

Sementara itu, ibu Syazana Amirah, Siti Rafiah berkata mereka sekeluarga amat memerlukan doa orang ramai agar anak bongsu daripada lima beradik itu dikuatkan semangat untuk mengharungi dugaan yang diterimanya.

"Kami amat rindukan keletahnya yang suka menceriakan orang sekeliling, dia juga suka sangat menyanyi... dia minat dengan Ben Laden (Idola Kecil) dan Siti Nordiana... lagu merekalah yang kerap dia menyanyi.

"Ada saya bercakap dengan dia, Nana cepatlah sembuh.. Mama rindu nak dengar Nana menyanyi," katanya dalam nada sebak.

Menurut Siti Rafiah, pihaknya juga amat berharap orang ramai dapat menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana anjuran Masjid Kariah Bangi yang dianjurkan khas untuk anaknya, selepas solat Maghrib, esok.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Syazana Amirah yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, retak tengkorak, patah rahang selain patah empat gigi dan lebam pada pipi dan leher.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan dan perompak dipercayai masuk melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Kejadian disedari Siti Rafiah yang pulang kira-kira jam 11.15 pagi selepas menemui anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di katil di dalam bilik. dipercayai dicederakan menggunakan objek tumpul dan tajam.

Semalam, polis daerah Kajang mengeluarkan lakaran wajah dua suspek utama kejadian dalam usaha memburu kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an.

Berita Harian X