Rabu, 12 Julai 2017 | 7:51pm

AMMB, RHB muktamad rundingan penggabungan

DATUK Sulaiman Mohd Tahir. - Foto Yazit Razali
DATUK Sulaiman Mohd Tahir. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd dan RHB Bank Bhd berada di landasan untuk memuktamadkan rundingan penggabungannya.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata beliau yakin kedua-dua bank itu akan dapat memenuhi tarikh akhir bagi perjanjian eksklusif itu pada 30 Ogos, 2017.

"Ia masih dalam proses. Ia berada di landasan yang tepat," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Terdahulu AMMB dan RHB Bank memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan bagi cadangan penggabungan itu yang membabitkan perjanjian semua saham.

Kedua-dua pihak memeterai perjanjian eksklusif untuk merundingkan dan memuktamadkan terma dan syarat cadangan penggabungan itu untuk diserahkan kepada pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

Penggabungan itu, sekiranya menjadi kenyataan, akan mewujudkan bank keempat terbesar negara dari segi saiz aset. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X