Rabu, 12 Julai 2017 | 7:59pm

Oki Setiana Dewi, Bienda pilihan Rabbani


KUMPULAN Rabbani. - Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Kejayaan membariskan penggiat irama nasyid kontemporari di Rabbani Lamb House (RLH) pada Ramadan lalu, mencetuskan ilham bagi Rabbani meneruskan kesinambungan aktiviti berkenaan di lokasi sama.

Anggota kumpulan merangkap jurucakap kumpulan nasyid terkenal itu, Azadan Abdul Aziz, berkata kali ini pihaknya menjemput pula selebriti wanita tempatan dan luar negara, bermula hujung minggu depan hingga penutup Syawal.

Artis yang bakal menjayakannya ialah penyanyi Bienda, yang akan menghiburkan pengunjung pada 16 Julai, disusuli kemunculan pelakon dan pendakwah bebas dari Indonesia yang juga bekas juri Gema Gegar Vaganza, Oki Setiana Dewi, pada minggu berikutnya.

"Selepas melihat sendiri sambutan orang ramai terhadap genre irama nasyid kontemporari di Rabbani Lamb House baru-baru ini, kami berasakan kehangatan itu wajar diteruskan.

"Lebih istimewa, kali ini kita beri peluang kepada penggiat seni wanita pula. Memandangkan Oki antara nama yang mempunyai kelompok peminat di sini, kami menerbangkan beliau ke ibu kota khusus untuk bersama pengunjung pada 21 Julai depan.

"Tidak ketinggalan diundang adalah Bienda yang turut mempunyai rangkaian lagu kemanusiaan yang bakal diperdengarkan pada acara makan malam khas," katanya kepada BH Online.

Azadan berkata, selain pengisian hiburan dan elemen bual bicara sambil menjamu hidangan lazat, pengunjung bertuah berpeluang membawa pulang hadiah cabutan istimewa termasuk pakej pelayaran Islamik bersama Rabbani.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan kedua-dua selebriti terbabit, yang turut diserikan kemunculan Rabbani, tempahan tempat atau kadar bayaran boleh dikemukakan kepada Hafizuddin di talian 017-5066119.

51 dibaca
Berita Harian X