Rabu, 12 Julai 2017 | 8:51pm

Jurujual ada 100 saman tertunggak ditahan

GEORGETOWN: Seorang jurujual lelaki yang didapati tidak menjelaskan 100 saman tertunggak sejak 10 tahun lalu, ditahan dalam operasi khas trafik di Jalan Patani di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan dalam operasi yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari dan pemeriksaan mendapati dia tidak menjelaskan saman membabitkan kesalahan meletak kenderaan di kawasan tidak dibenarkan serta pelbagai kesalahan lain.

"Pemeriksaan juga mendapati 97 saman tertunggak lelaki itu adalah di daerah Timur Laut manakala bakinya di beberapa kawasan lain di negeri ini. Semua saman itu belum dijelaskan sehingga hari ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam operasi itu, sebanyak 220 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan antaranya tidak berhenti di lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Sebanyak 14 notis waran tangkap turut dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang didapati tidak menjelaskan notis saman sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X